'Selamat Hari Lahir' Dr Noor Hisham!

TERKINI
April 20, 2020 - 09:04 PM


Sejak awal Mac lalu apabila negara mula digemparkan dengan rekod peningkatan mendadak kes jangkitan wabak COVID-19 hingga berlakunya kes kematian pertama -- ramai antara kita yang mula resah gelisah dan diserang rasa panik.

Mana tidaknya, Malaysia yang selama ini aman damai tanpa sebarang konflik tiba-tiba menjadi antara negara yang tidak terlepas daripada menjadi mangsa virus yang mula tercetus dari Wuhan, China.

Apatah lagi semasa permulaan krisis, negara juga ketika itu sedang berdepan dengan konflik politik yang tak berkesudahan hingga akhirnya berlaku peralihan kuasa pentadbiran negara kepada barisan menteri Kabinet yang baharu.

Meskipun, portfolio menteri bertukar tangan -- namun Malaysia tetap bertuah kerana kita masih dikurniakan seorang Ketua Pengarah Kesihatan yang sangat berpengetahuan tinggi dalam mengesan corak jangkitan wabak ini serta berperwatakan lembut dan bertanggungjawab dalam mendidik rakyat Malaysia supaya kekal tenang.

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah -- nama yang sering meniti di bibir rakyat Malaysia sejak kita semua mula menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah.

Manakan tidak, kalau setiap hari tepat jam 5 petang pasti wajah lembut beliau yang selalu dinanti-nantikan keluar di kaca TV untuk memberikan situasi semasa serta rekod terkini berhubung kes COVID-19 di Malaysia.

Sehinggakan anak kecil juga sudah mengenali wajahnya dan ramai juga yang menyifatkan Dr. Noor Hisham sebagai 'Hero Malaysia'!

ORANG PENTING COVID-19 DI MALAYSIA

Kerap berkemeja putih dan menyarungkan blazer rasmi Kementerian Kesihatan, Dr. Noor Hisham setiap hari sehingga kini akan muncul di sidang media rasmi yang disiarkan secara langsung di kaca TV dan media sosial.

Sejak mengambil alih peranan sebagai invidu paling penting dalam menangani COVID-19, Dr. Noor Hisham telah mempamerkan kepada rakyat bahawa beliau sememangnya seorang yang profesional, berintegriti, matang dan sentiasa tenang ketika mengemas kini statistik kes, menjawab soalan pengamal media dan memberikan nasihat penting kepada rakyat di rumah.

Setiap butir kata-katanya merupakan jawapan dan fakta yang tepat. Meskipun menerima pujian ramai beliau tidak pernah sekalipun mendabik dada malah sering mengembalikan pujian tersebut kepada pasukannya, barisan 'frontliners' dan juga rakyat Malaysia secara keseluruhan.

SEORANG PAKAR BEDAH TERBAIK

Sejak mula menjadi hero di mata setiap rakyat, ramai yang mula mengorek latarbelakang serta kehidupan peribadi seorang individu yang bernama Dr. Noor Hisham.

Namun tidak banyak info mengenai kisah hidup lelaki ini dan ia membuktikan bahawa beliau lebih gemar membiarkan kerjayanya sebagai seorang doktor sahaja yang 'berbicara' dan memperkenalkan siapa dirinya kepada umum.

Jika menurut carian di Wikipedia -- Dr. Noor Hisham dilahirkan di Sepang, Selangor pada 21 April 1963 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Pembedahan dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau mula dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013 sehingga kini.

Beliau sebelum itu memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) sejak 1 Februari 2008, malah Dr. Noor Hisham juga merupakan pakar bedah kanan dan pakar bedah endokrin di Hospital Putrajaya serta pernah melakukan latihan di pelbagai universiti di Adelaide dan Sydney, Australia.

Beliau mempunyai banyak penerbitan dalam jurnal tempatan dan antarabangsa mengenai pembedahan endokrin dan kepakarannya adalah dalam kanser endokrin payudara.

Pada Ogos 2017, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Jawatankuasa Eksekutif Komuniti Pakar Bedah Antarabangsa (ISS) selama lima tahun (2017–2019, 2019–2021) serta merupakan Presiden Majlis Perubatan Malaysia.

MULA MENJADI PERHATIAN & DIIKTIRAF DUNIA

Bukan sahaja Malaysia, malah dunia juga sudah mula mengenali dan mengiktiraf kewibawaan Dr Noor Hisham dalam memerangi pandemik COVID-19.

Buktinya, baru-baru ini -- media China, China Global TV Network (CGTN) menamakan Dr Noor Hisham sebagai salah satu daripada tiga doktor terbaik dunia dalam menentang coronavirus, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

Ketiga-tiga mereka dipuji kerana sejak beberapa minggu lalu, mengenengahkan penampilan yang ‘tenang, jelas dan meyakinkan’ ketika menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pendemik tersebut.

Malah, beberapa hari lepas juga Dr Noor Hisham telah mencetuskan viral di media sosial apabila membalas surat seorang anak kecil berusia 9 tahun kepadanya.

Dalam surat itu, gadis yang bernama Lara Khadijah McAfee dari Kuala Nerus, Terengganu turut mengirimkan loom band sebagai tanda persahabatan yang dipakaikan Dr Noor Hisham kepada cucunya.

Balasan surat peribadi kepada anak kecil yang ditandatangani beliau membuatkan hati rakyat Malaysia semakin menyayangi dan menghormati Ketua Pengarah Kesihatan itu.

Dan pada hari ini (21 April) -- jom kita ucapkan SELAMAT HARI LAHIR ke 57 tahun kepada 'Hero Malaysia' itu dengan sentiasa kekal duduk di rumah bagi sama-sama memutuskan rangkaian COVID-19 di negara kita.

TERIMA KASIH ATAS DEDIKASI TUAN!

 

Destination: