Sabah Bakal Miliki Taman Safari Seperti Di Afrika?
TERKINIDalam kebanyakkan negeri di Malaysia, Sabah antara destinasi yang sering menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara untuk bercuti terutama kerana keindahan pulaunya yang umpama 'syurga dunia'!
Namun, baru-baru ini pihak Kerajaan Negeri Di Bawah Bayu itu ada melontarkan cadangan untuk mempelbagaikan lagi sumber produk pelancongannya dan tidak mahu hanya bergantung kepada tarikan pulau semata-mata.
Dalam erti kata lain, Sabah kini sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan pelancongan safari seperti di taman safari popular di Serengeti, Afrika bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri berkenaan.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dikatakan telah meminta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah untuk menjaga dan memelihara hidupan liar seperti gajah yang banyak terdapat di Kalabakan sebagai tarikan pelancong.
Malah, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan dari segi kepakaran untuk memastikan pengurusan pentadbiran hidupan liar yang ada di negeri itu dapat ditingkatkan.
Penduduk Sabah juga akan terus dipupuk dan dididik agar tidak membunuh hidupan liar atau gajah dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya mengajar mereka untuk menghubungi Jabatan Hidupan Liar sekiranya terdapat hidupan liar yang masuk ke kampung mereka.
Kerajaan Negeri Sabah yakin dengan adanya produk pelancongan safari yang lain daripada lain ini bakal menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke negeri itu termasuk Turki, Jerman, Jepun dan Korea.
Awal tahun ini, Sabah mencipta rekod baharu dalam jumlah perbelanjaan pelancong ke negeri berkenaan dengan meraih lebih RM8 bilion dan bilangan pelancong 3.8 juta orang.
P/S: Syabas Sabah atas kejayaan yang sangat luar biasa dan teruskan kecemerlangan itu pada tahun depan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020! Semoga impian untuk Sabah memliki Taman Safari setanding Afrika juga bakal terlaksana...
Sumber: Bernama