Sajat Dikejar-Kejar, Jho Low Mana?

TERKINI
September 23, 2021 - 05:29 PM


Gigih betul ya mengejar Sajat... kes Jho Low dah setel ke?

Penangkapan Muhammad Sajjad Kamaruzaman atau Nur Sajat di Bangkok, Thailand baru-baru ini membawa persoalan sama ada kerajaan turut mempergiat pencarian Jho Low bagi membantu siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Itu persoalan dikemukakan Sanisvara Nethaji Rayer (DAP-Jelutong) kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

“Umum mengetahui bahawa Muhammad Sajjad Kamaruzaman telah ditahan di Thailand dan akan dibawa masuk ke Malaysia untuk menghadapi tuduhan. Soalan saya adala, bagaimana pula dengan Jho Low?

“Apakah tindakan yang akan diambil? Adakah kerajaan akan melakukan tindakan yang sama malah lebih agresif untuk mengesan dan membawa balik Jho Low atau tindakannya akan lebih perlahan sekarang kerana Ahli Parlimen Pekan menjadi backbencher kerajaan,?” soal Ahli Parlimen Jelutong itu.

Menjawab soalan itu, Saifuddin berkata, ia bukan di bawah bidang kuasanya dan menganggap dakwaan Rayer tidak adil terhadap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Terima kasih atas soalan tetapi ini bukan di bawah bidang kuasa saya.

“Namun, saya rasa tidak adil ayat yang terakhir daripada Ahli Parlimen Jelutong yang mana ia membawa makna yang tersirat. Saya akan tanya pada menteri yang berkaitan untuk perkara ini,” jawabnya ringkas.