Selepas COVID-19 Berakhir, Sabah Bakal Iktiraf Teluk Darvel & Pulau Mantanani Sebagai Taman Marin?

TERKINI
April 16, 2020 - 06:07 PM


Setelah pandemik COVID-19 berakhir nanti, Sabah bakal membangunkan lebih banyak produk pelancongan termasuk destinasi unik di kawasan luar bandar.

Bahkan, Kerajaan Negeri juga bakal menilai kesesuaian perairan Teluk Darvel, Lahad Datu dan perairan Pulau Mantanani di Kota Belud sebagai Taman-Taman Marin -- menerusi dua ekspedisi saintifik yang telah dijalankan sebagai usaha memperluaskan Kawasan Perlindungan Marin kepada 13 peratus menjelang tahun 2023.

Perkara itu diumumkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sewaktu menyampaikan ucapan dasar sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15, hari ini.

Teluk Darvel, Lahad Datu (Blue Hole)

Sektor pelancongan di Sabah telah menunjukkan prestasi memberangsangkan pada tahun lepas melalui peningkatan jumlah ketibaan pelancong sebanyak 4.19 juta pelancong berbanding tahun sebelumnya.

Malah, sumbangan perbelanjaan pelancongan pula adalah sebanyak RM9.01 bilion -- selain bilangan penerbangan terus antarabangsa juga telah bertambah.

Malangnya pada tahun ini, sasaran jumlah ketibaan pelancong dijangka sukar dicapai disebabkan isu penularan wabak COVID-19 yang memberi impak negatif kepada ekonomi global khususnya sektor pelancongan di Sabah.

Sebelum ini, kerajaan negeri mensasarkan 4 juta pelancong melawat Sabah pada tahun ini.

Sumber: Bernama

Destination: