Syoknya! Malaysia Alami Musim Sejuk Sampai Minggu Depan
TERKINIMalaysia akan menjadi tempat yang menarik untuk didiami sehingga minggu depan atau lebih lagi.
Ini kerana suhu di negara ini dijangka kekal rendah sehingga minggu depan berikutan lonjakan cuaca sejuk akibat monsun timur laut.
Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah dari Universiti Malaya berkata negara sedang memasuki penghujung musim monsun, yang dijangka berakhir pada Mac.
Lonjakan sejuk akan membawa penurunan suhu antara 2 darjah Celsius dan 3 darjah Celsius kerana angin berasal dari Siberia, yang kini mengalami suhu -25 darjah Celsius.
“Kita boleh jangkakan keadaan cuaca sejuk dan basah sehingga lonjakan semasa berakhir pada minggu depan.
"Ini kemudiannya akan menyebabkan langit lebih cerah tetapi ribut petir masih boleh berlaku," katanya.
Kekurangan litupan awan pada waktu siang akibat monsun timur laut juga boleh menyaksikan kawasan seperti Chuping di Perlis mencatatkan suhu maksimum siang hari 38°C atau lebih.
“Kejadian lonjakan sejuk juga akan meningkatkan kelajuan angin di Laut China Selatan dan boleh menghasilkan ombak setinggi antara 2 meter dan 3 meter, yang boleh membahayakan bot nelayan yang lebih kecil,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata keadaan cuaca lembap diramalkan terutama bagi negeri di Pantai Timur.
Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata terdapat juga potensi ribut petir yang tinggi berlaku di seluruh negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sehingga pertengahan Februari.
Terdapat juga kemungkinan besar ribut petir di negeri-negeri Pantai Barat seperti Selangor, Perak dan Melaka, dengan hujan lebat dan angin kencang.
Keadaan cuaca lembap juga dijangka di Sabah dan Sarawak sehingga Mac tetapi negeri utara Perlis, Kedah dan Pulau Pinang berkemungkinan kekal kering.
Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk laman web met.gov.my, platform media sosialnya serta aplikasi myCuaca untuk maklumat terkini.
Sumber: Mstar