Taj Mahal Alami Kerosakan Akibat Ribut Petir

TERKINI
June 04, 2020 - 01:58 PM


Taj Mahal yang merupakan salah satu daripada tujuh keajaiban dunia serta menjadi tarikan pelancongan nombor satu di India kini mengalami kerosakan akibat insiden ribut petir yang melanda beberapa bahagian utara India, baru-baru ini.

Bahagian yang paling terjejas teruk adalah bahagian dalam kompleks Taj Mahal, termasuk pintu utama dan pagar yang mengelilingi lima buah kubahnya.

Tiada kemalangan jiwa berlaku di lokasi pelancongan itu memandangkan ia telah ditutup kepada pengujung sejak pertengahan Mac lalu susulan pandemik COVID-19.

Beberapa gambar-gambar daripada AFP menunjukkan para pekerja sedang memeriksa pagar di bahagian makam utama selepas ribut petir melanda bandar Agra di negeri di utara, Uttar Pradesh.

"Salah satu pagar diperbuat daripada batu pasir yang merupakan bahagian daripada struktur asalnya rosak," kata Penyelia Ahli Arkeologi dari Kaji Selidik Arkeologi India, Encik Vasant Kumar Swarnkar, kepada AFP.

"Salah satu pagar marmar yang merupakan struktur tambahan dan siling di kawasan berkumpul pelancong dan batu asas di pintu utama juga didapati rosak," katanya.

Beliau bagaimanapun menambah bahawa tiada kerosakan pada struktur utama monumen yang dikenali sebagai lambang cinta itu - ia dibina oleh Maharaja Mughal, Shah Jahan sebagai pusara untuk isteri tercintanya, Mumtaz Mahal yang meninggal dunia ketika bersalin pada tahun 1631.

Media tempatan melaporkan bahawa ribut petir dan kilat pada Jumaat itu mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang di dua daerah di Uttar Pradesh.

Bencana alam itu sering berlaku pada musim tengkujuh sekitar bulan Jun hingga Oktober.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 150 orang terbunuh akibat ribut petir yang berlaku pada Ogos dan September di negeri di pusat India iaitu Madhya Pradesh.

Sumber: 24newshd.tv
 

Destination: