Tak Payah Borong Semua. Ini Je 5 Barang Penting Kena Ada Kat Rumah Bila Start 'Perintah Kawalan Pergerakan'

TERKINI
March 17, 2020 - 12:41 PM


Bermula esok (18 Mac 2020), Malaysia buat pertama kali dalam sejarah, bakal menguatkuasakan "PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN" di seluruh negara selama 2 minggu sehingga hujung bulan ini.

Meskipun ia bukanlah perintah berkurung atau Lockdown seperti yang dilakukan oleh beberapa negara luar seperti Itali dan China, adalah penting untuk kita mengehadkan pergerakan di luar rumah bagi mengekang penularan COVID-19.

Berikut adalah 5 barangan penting yang boleh disediakan di rumah untuk kegunaan selama 14 hari ini. 

Tetapi diingatkan ya, jangan menyimpan stok hingga berlebihan hingga menyebabkan pembelian panik kerana pasar raya yang menjual barangan keperluan harian masih dibuka seperti biasa.

Membeli dengan bijak dan beri peluang juga kepada orang lain untuk mendapatkan barangan keperluan sama. Tak payah nak beriya borong semua!

Ini 5 keperluan penting yang perlu anda sediakan di rumah :-

1)  MAKANAN

Makanan untuk keluarga dan haiwan peliharaan. Disarankan untuk menyediakan bahan makanan kering yang mudah dihidangkan seperti beras, pasta, kekacang dan tepung gandum.

Masa wabak begini, adalah dinasihatkan untuk sentiasa mengambil makanan yang bernutrisi tinggi untuk memastikan kesihatan anda sentiasa dalam keadaan terbaik.

2) PRODUK HYGIENE

Pastikan anda memiliki produk hygiene bagi menjaga kebersihan diri dan keluarga seperti sabun, pembersih tangan, kertas tandas dan tisu.

Ini kerana anda perlu sentiasa mencuci tangan dengan bersih bagi menghindar jangkitan wabak koronavirus.

3) UBAT

Ubat-ubatan juga penting untuk disediakan di rumah apatah lagi jika anda memang mengalami penyakit lain yang bergantung kepada bekalan ubat.

Ia juga boleh mengelakkan anda kerap ke klinik atau hospital untuk mengambil bekalan ubat, sekaligus mengurangkan risiko jangkitan kepada anda yang sedia sakit.

4) KIT PERTOLONGAN CEMAS

Setiap rumah seharusnya dilengkapi dengan kit pertolongan cemas sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan ketika anda sedang bekerja dari rumah.

Ia juga boleh membantu anda mengubati kes luka-luka ringan jika dialami oleh anak-anak yang sedang direhatkan di rumah kerana penutupan sekolah.

5) AIR

Jika lokasi rumah anda terletak di kawasan yang terbatas dengan sumber bekalan air atau mengalami gangguan, adalah lebih baik sekiranya anda menyimpan air bersih yang mencukupi.

Dalam keadaan wabak ketika ini, penting untuk badan anda sentiasa terhidrasi.

Destination: