Taman Tema Air Berkonsep Tropika Bakal Dibuka Di Dengkil, Dis 2021
TERKINITaman tema air antara pilihan destinasi percutian kegemaran ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka beriadah dan berseronok terutama menjelang musim cuti persekolahan.
Di Malaysia sendiri terdapat banyak taman-taman tema air yang boleh dikunjungi dan boleh dikatakan di setiap negeri mempunyai taman tema air mereka sendiri.
Menjelang bulan Disember 2021, Selangor bakal memiliki sebuah lagi taman tema air yang terletak di Gamuda Cove, Dengkil.
Bertemakan hutan hujan, 70 peratus daripada kawasan taman tema berkenaan dilitupi pelbagai tanaman tropika.
Taman tema air itu akan menawarkan 18 permainan termasuk gelongsor dilengkapi kamera realiti maya (VR) bagi memberi impak lebih menarik kepada pengunjung, selain turut diselitkan ciri-ciri permainan bagi menambahkan rasa keseronokan yang maksimum.
Menariknya, taman tema berkenaan bakal dilengkapi sungai sepanjang 300 meter sesuai untuk kanak-kanak, pantai buatan dengan dilengkapi kabana dan permainan air interaktif.
Sebahagian besar tarikan di taman tema tersebut juga adalah yang pertama di dunia, Asia atau Malaysia dan ianya memenuhi standard keselamatan yang ditetapkan The Global Association for the Attractions (IAAPA).
Kos pembinaan taman tema air itu dilaporkan mencecah RM350 juta dengan peruntukan bagi gelongsor dan permainan saja mencecah RM90 juta.
Namun begitu, bagi tidak mahu terlalu membebankan pihak ibu bapa yang ingin membawa anak-anak beriadah di taman tema air itu, pihak pengurusan Gamuda menjangkakan tiket kemasukan adalah lebih rendah berbanding taman tema sedia ada di pasaran ketika ini.
Malah, pihaknya yakin dapat menawarkan harga tiket masuk yang kompetitif memandangkan kos pengurusan taman tema itu akan dilaksanakan dengan cara tersendiri seperti menggunakan kakitangan yang berkemahiran serta persekitaran yang tidak memerlukan penggunaan penyaman udara kerana dikelilingi tanaman hijau.
P/S: Tak sabar rasanya nak tunggu Taman Tema Air Gamuda Cove ni buka secara rasmi, kan? Majlis pecah tanah dah dilakukan di Dengkil, Selangor baru-baru ini.
Sumber: Harian Metro