Tanah Runtuh Di The Banjaran Hotsprings, 2 Maut Terperangkap Dalam Jakuzi Vila!

TERKINI
November 10, 2020 - 09:12 PM


Malang tidak berbau!

Itu yang berlaku terhadap dua orang pelancong yang sedang menginap di sebuah resort pelancongan yang terkenal di kawasan gunung di Tambun, Ipoh, Perak iaitu The Banjaran Hotsprings Retreat -- apabila mereka ditemui maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada awal pagi Selasa (10 Nov).

Menurut laporan Bernama, mayat mangsa lelaki ditemukan pada pukul 9.55 pagi sebelum mayat mangsa wanita dijumpai beberapa minit kemudian di dalam jakuzi di sebuah unit resort berkenaan.

Bagaimanapun, hubungan kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 30-an belum dikenal pasti dan siasatan awal mendapati tanah runtuh berlaku di kawasan cerun salah satu bukit.

Kerja-kerja mengeluarkan kedua-dua mangsa terpaksa ditangguh beberapa kali pada awal pagi tadi susulan terdapat pergerakan tanah dan pengaliran air, namun disambung semula kira-kira pukul 7 pagi selepas mendapat nasihat Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Perak dengan menggunakan backhoe.

Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu disedari kakitangan resort, lalu mengarahkan semua penginap di dalam empat unit yang berpenghuni untuk menyelamatkan diri namun dua mangsa berkenaan terperangkap.

Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk dibedah siasat.

Menurut pihak Bomba, kejadian tanah runtuh itu berlaku setinggi 100 meter dan pergerakan air di atas bukit kemungkinan disebabkan hujan lebat beberapa hari ini.

Sementara, pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Perak memaklumkan berdasarkan pemeriksaan mendapati kawasan kejadian dikelilingi bukit batu kapur atas tanah baki yang ditumbuhi pokok, namun tanah itu menjadi lemah apabila terkena air hujan.

Apabila tanah semakin lemah, ia menyebabkan tanah runtuh hingga menimbus sebahagian daripada kawasan resort.

Ketika ini, pihak berkuasa masih lagi melakukan perbincangan bagi menentukan langkah seterusnya termasuk melakukan kajian tahap keselamatan di sekitar kawasan tersebut, dan tidak menolak kemungkinan terdapat risiko berlaku lagi kejadian sama di lokasi berkenaan.

Sementara itu, The Banjaran Hotsprings Retreat dalam kenyataan memaklumkan, resort itu bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menghubungi keluarga kedua-dua mangsa serta akan memberikan sokongan dan bantuan diperlukan.

Kenyataan itu memberitahu tiada penghuni lain dan kakitangan yang terjejas dengan kejadian itu dan kesemua mereka telah dipindahkan ke tempat selamat.

“Kami ingin memaklumkan bahawa resort ini memenuhi semua syarat dan protokol kesihatan oleh pihak berkuasa berkaitan dan beroperasi mengikut standard antarabangsa.

“Keselamatan dan kesihatan para tetamu dan kakitangan sentiasa menjadi keutamaan kami,” menurut kenyataan itu.

Resort itu menambah, pihaknya tidak dapat memberi ulasan lanjut mengenai kejadian itu kerana polis sedang menjalankan siasatan.

Sumber: BERNAMA

Destination: