Tempoh Rayuan BPN Dilanjutkan Hingga 31 Mei Ini

PANAS
May 11, 2020 - 01:38 PM


Ini satu berita baik untuk korang yang masih tidak berjaya atau menantikan kelulusan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan sehingga 31 Mei ini.

Selain menghantar e-mel, pemohon yang ingin membuat rayuan boleh hadir sendiri ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula hari ini atau Selasa bagi negeri yang bercuti pada Isnin.

Untuk menyemak rekod permohonan BPN anda boleh melayarinya di laman web LHDN.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lanjutan itu dibuat selepas kerajaan menerima dan mendengar pelbagai rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima BPN atas pelbagai sebab.

"Mengenai isu bayaran BPN, saya dengar ada rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran ini atas pelbagai sebab, antaranya kerana maklumat yang diisi tidak lengkap.

"Ada juga yang permohonannya ditolak kerana dalam rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan, tetapi mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

"Ada juga antara yang memohon adalah yang menerima bantuan BPN bagi kategori pelajar, jadi permohonan mereka untuk mendapatkan bayaran BPN bagi kategori bujang ditolak.

"Mengambil kira semua perkara ini, Menteri Kewangan bersetuju melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei 2020.

"Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan, tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, Insya-Allah boleh diluluskan," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung, semalam.

Berhubung bayaran BPN terkini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan meluluskan 2.3 juta permohonan BPN semalam, termasuk permohonan baharu dan rayuan, membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.7 bilion.

Dengan kelulusan itu, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang yang membabitkan bayaran berjumlah RM11 bilion.

Sumber: Berita Harian

Destination: