Wah, Akhirnya Sempadan Negara Dibuka Sepenuhnya 1 April Depan!

TERKINI
March 08, 2022 - 08:43 PM


Setelah lebih 2 tahun sempadan negara ditutup bagi mengekang penularan COVID-19 -- kerajaan akhirnya mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula sepenuhnya pada 1 April depan.

Langkah tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Parlimen pada Selasa, selaras dengan pengumuman peralihan negara ke fasa endemik pada bulan April  depan.

Keputusan ini dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu :-

1) Berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19

2) Membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain

3) Memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka

Paling penting, Malaysia sekarang adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua.

Dengan pembukaan semula sempadan negara ini bermakna :-

A) Rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

B) Rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

Sebaliknya, mereka hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera.

Katanya, bagaimanapun, mengambil kira situasi penularan COVID-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia.

Dengan pembukaan sempadan, katanya pengembara yang lengkap vaksinasi COVID-19 tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu menjalani ujian saringan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas, serta ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Bagi pengembara yang belum menerima vaksin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dijadualkan memperincikan prosedurnya pada Rabu.

Sumber: Astro Awani

Destination: