Atasi Kelab Dibarisi Mahrez & Firmino, JDT Kini Kelab Ke-14 Terbaik Di Rantau Asia

SUKAN
April 26, 2024 - 11:15 AM


Kelab gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mencipta nama apabila diletakkan sebagai kelab ke-14 terbaik di benua Asia.

Juara 10 kali Liga Super itu membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila kemas kini terbaru laman Opta Analyst menyaksikan mereka berjaya naik tiga anak tangga berbanding kedudukan 17 terbaik Asia sebelum ini.

Analisis daripada laman bola sepak yang menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia itu menunjukkan Harimau Selatan mengumpul 75.1 mata. 

Peningkatan itu juga terus mengukuhkan kedudukan JDT sebagai kelab nombor satu di Asia Tenggara dan Malaysia dengan pesaing terdekat adalah kelab Thailand, Buriram United yang menghuni tangga ke-49 di Asia (625 di dunia).

Lebih membanggakan, kemas kini ranking itu juga menyaksikan Harimau Selatan mengatasi beberapa kelab ternama seperti kelab dari Liga Pro Saudi, Al-Ahli yang dibarisi pemain seperti Roberto Firmino dan Riyad Mahrez di kedudukan ke-19 Asia.

Selain itu, JDT juga telah mendaki 17 anak tangga untuk berada di tangga ke-324 dalam kedudukan ranking kelab dunia. 

Kelab nombor satu di Asia kekal menjadi milik Al-Hilal dengan 85.8 mata disusuli oleh Al-Nassr (82.2 mata) dan juga Ulsan Hyundai di tangga ketiga dengan 79.3 mata.

Manakala, gergasi Liga Perdana Inggeris (EP), Manchester City berada di kedudukan teratas kelab dunia dengan mengumpul 100 mata manakala Real Madrid di tangga kedua dengan 98.2 mata. 

 

Sumber: Berita Harian 

Destination: