ACL: Tersungkur Di Tokyo, JDT Menempah Laluan Berliku

SUKAN
November 29, 2023 - 10:38 AM


Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mara ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 semakin sukar setelah tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale di Stadium Todoroki, Jepun malam tadi.

Kekalahan itu mengekalkan kedudukan skuad Harimau Selatan di tangga ketiga Kumpulan I dengan enam mata. Keputusan tersebut juga membuatkan peluang JDT untuk mara ke pusingan kalah mati semakin tipis selepas pencabar terdekat, Ulsan Hyundai turut mengutip 3 mata apabila menewaskan BG Pathum United 3-1.

Kawasaki yang dibimbing Toru Oniki pula gah menerajui kumpulan selepas melakar rekod bersih lima aksi untuk mengutip 15 mata sekali gus mara ke pusingan kalah mati.

Dalam aksi malam tadi, pasukan tuan rumah terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Akihiro Ienaga pada minit kelapan.

Kawasaki Frontale terus menguasai perlawanan dengan corak hantaran pendek dan langsung tidak memberi peluang kepada JDT untuk merampas penguasaan bola. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Stadium Todokori kembali bergema dengan sorakan ribuan penyokong pada minit ke 49 apabila pemain import Brazil, Leandro Damiao merembat masuk hantaran cantik daripada Akihiro Ienaga untuk gol kedua Kawasaki Frontale.

Pasukan tuan rumah terus menambah derita JDT apabila Marcinho menyumbat gol ketiga pada minit ke-60 menerusi tandukan kencang. Berselang sembilan minit gawang JDT sekali lagi bergegar menerusi sepakan Yu Kobayashi untuk meletakkan Kawasaki 4-0 di depan.

Ketika perlawanan dilihat akan berakhir dengan keputusan 4-0, Miki Yamane menambah derita JDT dengan rembatan cantik dari luar kotak penalti untuk gol kelima Kawasaki Frontale.

JDT masih berpeluang untuk menyaingi Ulsan, namun perlu menagih simpati dari Kawasaki untuk menewaskan Ulsan selain menang besar ke atas BG Pathum United di laman sendiri pada 12 Disember.

Jika JDT menang dan Ulsan Hyundai tewas, jumlah mata kedua-dua pasukan ini terikat 9 mata tetapi kemaraan mereka akan ditentukan menerusi perbezaan jaringan. Oleh yang demikian, JDT perlu menewaskan BG Pathum United dengan jaringan yang besar untuk aksi terakhir kumpulan I.

 

Sumber: The Vocket

 

Destination: