Demi Kelangsungan Jangka Panjang Kelab, JDT 'Cut' 40% Perbelanjaan Untuk Musim 2024

SUKAN
December 29, 2023 - 10:31 AM


Musim 2023 merupakan antara musim yang cemerlang buat pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT). Kelab yang digelar sebagai Harimau Selatan itu baru sahaja meraih gelaran 'quadruple' buat kali kedua berturut-turut selepas memenanginya pada musim 2022.

Namun, satu kenyataan tentang perubahan yang bakal dilakukan kelab itu telah mengejutkan ramai peminat bola sepak tempatan. Menerusi kenyataan di laman sosial rasmi JOHOR Southern Tigers (JST), JDT bakal melalui satu proses transformasi berkenaan dengan aspek perbelanjaan pasukan.

Pelan transformasi berhubung penjimatan perbelanjaan yang diumumkan JDT akan menyaksikan kelab gergasi tanah air itu melepaskan beberapa nama besar termasuk ketua jurulatih, Esteban Solari.

Selain Solari, empat lagi individu yang berada dalam barisan kejurulatihan dan enam pemain akan turut meninggalkan pasukan.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada barisan kejurulatihan, pemain dan kakitangan yang akan meninggalkan kelab.”

“Harimau Selatan sedang melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan sehingga 30-40% disebabkan keperluan untuk penstrukturan semula kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab.”

“Kelab telah membelanjakan sejumlah wang untuk projek bola sepak sepanjang enam hingga tujuh tahun ini.”

“Antara yang meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan.”

“Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab.”

“JDT juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pemain yang akan dipinjamkan keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli. Luaskan Kuasamu Johor,” 

 

Sumber: The Vocket & Instagram

Destination: