"Dah Macam Kuih Seri Muka" - Timbalan Menteri Harap Padang Tak Lecak Masa Final Piala Malaysia

SUKAN
December 08, 2023 - 02:02 PM


Timbalan Menteri dan Sukan, Adam Adli Abd Halim meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk menangani isu berbangkit teruatamanya mengenai keadaan padang.

Meskipun kini keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak berada pada tahap memuaskan, namun Adam mendedahkan bahawa sudah memberi arahan kepada PSM agar ia sedia digunakan dalam final Piala Malaysia pada Jumaat.

"Memang boleh guna. Tiada venue lain (lagi dah), kami telah minta padang mesti boleh digunakan di tahap mininum.

"Padang sepatutnya ok walaupun daripada segi kosmetiknya dilihat tidak seperti yang diharapkan tapi daripada segi penggunaannya ok,” katanya memetik laporan Stadium Astro.

Tambah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkenaan, beliau berharap agar padang dengan rumput baharu Zeon Zoysia itu akan bertahan sepanjang ia digunakan dalam aksi antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) berkenaan.

"Cuaca hujan hari ini (Khamis) secara teknikalnya juga membantu memampatkan balik tanahnya.

"Tapi (sistem) saliran berfungsi dengan baik jadi sekurang-kurang permainan tidak berlangsung dalam lecak.

"Saya harap padang boleh 'bertahan' untuk perlawanan esok (Jumaat)," katanya ketika ditemui dalam perlawanan bola sepak Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) di antara Perak dan Sabah dekat MSN, Bukit Jalil pada Khamis.

Permukaan padang stadium yang diibaratkan dengan kuih seri muka itu dilihat semakin teruk selepas konsert Coldplay dua minggu lalu sehingga ramai percaya ia boleh menjejaskan rentak permainan.

“Stadium Bukit Jalil dah boleh masuk Malaysia Book of Record. Buat kuih seri muka terbesar di Malaysia,” kata penganalisis jenayah yang juga wartawan veteran, Syahril A. Kadir.

“Kalau setakat ok. Stadium Kajang pun dah lebih dari ok. Final Piala Malaysia yang menyedihkan...huhu,” kata seorang lagi penyokong, Shahlan AK.

"Padang ok... tapi bukan untuk bermain bolasepak sekadar untuk bersenam lari setempat saja," kata penyokong, Mohamed Abdul Rahman.

Sumber: Majoriti

Destination: