Majlis Olimpik Malaysia Pilih "Belang" Lebih Garang Untuk Pakaian Rasmi Baru Kontinjen Olimpik Paris 2024
SUKANSusulan menerima maklum balas yang bercampur baur terhadap reka bentuk dan motif sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ini memilih rekaan baharu dengan menampilkan corak belang Harimau yang 'lebih garang' untuk pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menerusi satu kenyataan rasmi pada Selasa.
Justeru Norza memaklumkan corak baharu yang dipilih berlatarbelakangkan warna hitam dengan belang Harimau berwarna kuning lebih jelas dan besar pada sebelah hadapan dan belakang jaket.
"Logo MOM dengan kibaran Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna Jalur Gemilang diiringi lima Gegelung Olimpik, berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.
"Rekaan corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.
"Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti," katanya.
Dengan keputusan ini, MOM mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia menghulurkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada semua anggota Kontinjen Malaysia di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024, mulai 26 Julai hingga 11 Ogos nanti.