"Mbappe Ke Bukit Jalil!" - Malaysia, Indonesia & Australia Berhasrat Jadi Hos Piala Dunia
SUKANIndonesia berunding dengan Australia mengenai hasrat menjadi penganjur Piala Dunia 2034 bersama Malaysia dan Singapura, menurut presiden persekutuan bola sepak negara itu (PSSI) hari ini.
Badan bola sepak dunia Fifa mempelawa ahli gabungan dari Asia dan Oceania untuk membuat bidaan edisi 2034 minggu lalu.
"Kami berunding (bidaan) dengan Australia," kata Presiden PSSI Erick Thohir dalam kenyataannya yang dipetik Sydney Morning Herald.
"Ketika saya melawat Malaysia dan Singapura, kedua-dua negara berminat menyertai Indonesia dan Australia."
Selepas mengumumkan Sepanyol, Maghribi dan Portugal bakal menganjurkan Piala Dunia 2030 dengan Uruguay, Paraguay dan Argentina menjadi venue perlawanan awal, Fifa mempelawa Asia dan Oceania membuat bidaan edisi 2034.
Arab Saudi pantas mengumumkan hasrat mereka dan Fifa menetapkan tarikh akhir 31 Oktober untuk negara lain menyertai persaingan bidaan.
Dengan Qatar menganjur edisi 2022, Akmal Marhali dari pertubuhan Save Our Soccer Indonesia memberitahu Herald, ia mungkin terlalu awal Piala Dunia kembali dianjurkan di Timur Tengah.
"Kami agak lebih kuat," katanya. "Saya fikir Fifa mengambil kira Qatar yang menganjurkan Piala Dunia tahun lalu. Jepun dan Korea sudah pun menganjurkannya. Saya yakin Fifa akan cuba di negara-negara lain.
"Kemenangan akan lebih cerah jika kami menyertai Australia, Malaysia dan Singapura."
Piala Dunia 2026 yang akan menampilkan 48 pasukan bakal dianjurkan Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.