MFL Buat U-Turn, TMJ Keluar Kenyataan - “Lepas Ini Kalau Buat Salah, Suruh Tuanku Sultan Tulis Surat”

SUKAN
June 28, 2024 - 10:54 AM


Tidak sampai 24 jam selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan titah murka baginda, Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) kembali bersidang dan memutuskan untuk mengurangkan hukuman terhadap Selangor FC.

Dalam kenyataan petang ini, MFL berkata, Ahli Lembaga Pengarahnya "menggunakan budi bicara" untuk membuat keputusan itu sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berikut merupakan keputusan terbaru yang diputuskan Ahli Lembaga Pengarah MFL:

1. Denda dikurangkan daripada RM100,000 ke RM60,000.
2. ⁠Bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan tetapi jumlahnya belum ditetapkan.
3. Pemotongan tiga (3) mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dibatalkan.
4. Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dibatalkan. 

"Bagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan," kata MFL. 

Namun begitu, keputusan tersebut telah mendapat kritikan dari Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) yang bersuara menerusi Instagram Story. 

TMJ berpendapat, tindakan MFL ini seumpama memberi bayangan setiap pasukan yang menerima hukuman boleh menggunakan kuasa Sultan untuk mengurangkan hukuman.  

"Lepas ni yang mana club tak bayar gaji, tarik diri sesuka hati, melanggar undang undang Liga, suruh Sultan tulis surat murka aja senang. 

“JDT daripada 2013 kena denda beratus ribu, saya kena ‘banned’ 6 bulan, tidak ada pun Tuanku Sultan Johor keluarkan surat atau buat kenyataan. Siap mengungkit beri pingat Datuk. MFL buat ‘U-Turn’ tanpa surat rayuan. Yang memekak hentam MFL baik puji MFL sekarang.

“Tuan-tuan dan puan-puan, saya persembahkan kepada anda Tokong sebenar bola sepak Malaysia,” tulis baginda. 

 

Sumber: Facebook & X

Destination: