Piala Asia 2023: Skuad Harimau Malaya Bernilai RM 34.5 Juta, Paling Kerdil Berbanding Pasukan Lain Dalam Kumpulan E

SUKAN
December 27, 2023 - 11:02 AM


Disebabkan peningkatan yang banyak dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) tahun ini, harga pasaran semasa keseluruhan skuad Harimau Malaya yang akan beraksi di pusingan akhir Piala Asia di Qatar bulan depan berjumlah 6.7 juta Euro (RM34.5 juta).

Jumlah itu adalah nilai pasaran keseluruhan pemain yang dipanggil ketua jurulatih, Kim Pan Gon berdasarkan tanda harga diletakkan laman antarabangsa, transfermarkt.com.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools yang beraksi bersama kelab Thailand, Buriram United memegang status pemain termahal dalam skuad dengan nilai pasaran RM3.8 juta.

Bintang muda sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT) pula, Arif Aiman Hanapi yang juga pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia 2021 dan 2022 muncul pemain kedua termahal apabila diberikan 'tanda harga' RM2.8 juta.

Faisal Halim dan Matthew Davies pula di kedudukan ketiga dengan nilai pasaran RM2 juta manakala pemain naturalisasi terbaharu, Romel Morales bernilai RM1.4 juta.

Berdasarkan nilai skuad dalam Kumpulan E saingan Piala Asia 2023, Malaysia boleh dianggap pasukan paling kerdil jika dibandingkan dengan pasukan lain terutama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Korea Selatan yang memiliki pemain berkelas dunia jelas berada di tahap yang berbeza. Berdasarkan nilai pasaran yang diletakkan oleh transfermarkt.com, skuad itu bernilai RM967 juta.

Tonggak pertahanan, Kim Min Jae yang beraksi bersama gergasi Jerman, Bayer Munich menjadi pemain termahal skuad Taegeuk Warriors dengan nilai pasaran RM308 juta. Manakala, kapten Korea Selatan, Son Heung Min yang juga bintang Tottenham Hotspur memegang tanda harga RM256 juta.

Tiga lagi pemain Korea Selatan memiliki nilai pasaran yang mengatasi keseluruhan skuad Harimau Malaya adalah pemain Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee Chan dan pemain Paris Saint-Germain, Lee Kang In yang bernilai RM113 juta selain Hong Hyun Seok (RM41 juta).

Sementara itu, nilai pasaran keseluruhan skuad kebangsaan Jordan dan Bahrain turut mengatasi Harimau Malaya apabila masing-masing memiliki nilai keseluruhan berjumlah RM60 juta dan RM49 juta.

 

Sumber: Berita Harian

Destination: