Kantoi Berskandal Dengan Suami Orang, Miss Japan 2024 Terpaksa Lepaskan Gelaran

HIBURAN
February 07, 2024 - 01:11 PM


Pemenang Miss Japan 2024, Karolina Shiino pernah menjadi tumpuan ramai ekoran memenangi pertandingan tersebut walaupun lahir di Ukraine.

Dan nama Karolina sekali lagi menjadi tumpuan apabila terpalit dalam kontroversi menjalinkan hubungan dengan suami orang sehingga menyebabkannya melepaskan gelaran Miss Japan 2024, lapor penganjur pertandingan itu. 

Berdasarkan laporan dari The Straits Times, keputusan itu dibuat selepas tersiarnya laporan dalam majalah Jepun, Shukan Bunshun bertarikh 31 Januari lalu, yang mendedahkan skandal Karolina adalah seorang doktor yang sudah berkahwin.

Namun pada awalnya, kenyataan tersebut dinafikan oleh Persatuan Miss Japan pada 1 Februari lalu, dengan menyatakan di laman webnya bahawa doktor terbabit menyalahgunakan gambarnya sebagai seorang bujang dan Karolina tidak mengetahui status perkahwinan lelaki itu.

"Persatuan Miss Japan percaya tiada kesalahan di pihak Karolina Shiino," katanya.

Bagaimanapun, pada 5 Februari lalu, persatuan itu berkata, maklumat lanjut mendapati Karolina sebenarnya tahu status lelaki tersebut dan mengelirukan orang ramai berhubung perkara berkenaan.

Shiino kemudian memohon maaf dan melepaskan gelarannya sebagai Miss Japan 2024.

Persatuan Miss Japan mengesahkan bahawa gelaran itu akan kekal tanpa diganti sesiapa sepanjang tahun ini, sekali gus menyaksikan situasi yang belum pernah berlaku dalam sejarah pertandingan itu.

Sementara itu, agensi mewakili Shiino dalam satu kenyataan mengumumkan penamatan kontrak Shiino. Dalam mesej peribadi yang dikongsi di Instagram (IG), Shiino menyatakan kekesalannya dan tidak dapat bercakap benar kerana keliru dan takut.

Untuk makluman, Karolina dilahirkan di Ukraine dan berhijrah ke Jepun pada usia lima tahun apabila ibunya berkahwin dengan lelaki Jepun.

Karolina sebelum ini dikritik hebat selepas menang pertandingan Miss Japan kerana dikatakan tidak mewakili rupa wanita di negara berkenaan.

 

Sumber: Harian Metro

Destination: