"Macam Tel Aviv" - Harga Tapak Bazar Aidilfitri Di Senawang Didakwa Cecah Sehingga RM17,000

TERKINI
March 07, 2024 - 11:35 AM


Salah satu perkara yang dinantikan umat Islam di Malaysia apabila tibanya bulan puasa adalah bazar Ramadan. Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, muncul isu harga tapak sewaan yang sengaja dijual dengan harga ‘cekik darah’ kepada para peniaga.

Baru-baru ini, tular satu hantaran di X berkenaan dengan harga tapak khemah yang disewakan kepada para peniaga yang mahu membuka gerai di Dataran Senawang. Dikhabarkan, harga sewa tersebut mencecah sehingga RM17,000.

Harga tersebut jauh berbeza dari harga biasa yang ditawarkan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) iaitu sekitar RM2,000 hingga RM3,500.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan, harga baharu yang mencecah RM17,000 itu telah ditetapkan untuk tapak khemah yang diletakkan di bahagian hadapan.

Bukan itu sahaja, peniaga yang berminat perlu membuat bayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus daripada harga tersebut manakala baki 50 peratus lagi perlu diselesaikan pada Ramadan pertama. Jika peniaga membatalkan atau tidak membuat bayaran penuh tempahan seperti tarikh ditetapkan, wang deposit mereka tidak dikembalikan.

Memetik dari Sinar Harian, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali dikhabarkan terkejut dengan harga sewaan tapak khemah berkenaan yang disifatkan tidak munasabah. Difahamkan, ada tiga penganjur yang dilantik di bazar Aidilfitri Dataran Senawang yang diberi mengikut zon.

“Yang saya difahamkan harga mengikut saiz khemah antara RM2,000 hingga RM3,500, tapi harga sampai RM17,000 ini memang tak sepatutnya,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau tidak menolak kemungkinan harga itu ditawarkan oleh pihak ketiga yang cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah memandangkan tapak khemah di situ sentiasa mendapat permintaan ramai.

 

Sumber: Sinar Harian

Destination: