Nota Keterangan Tidak Lengkap, Rayuan Siti Bainun Ditangguh Ke 30 Jan
TERKINIPendengaran rayuan Siti Bainun Ahd Razali hari ini terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, ditangguhkan ke 30 Jan depan.
Berikutan nota keterangan saksi pembelaan kelapan yang belum lengkap, peguam yang mewakili Siti Bainun, Haijan Omar memohon penangguhan dan ia dipersetujui oleh Hakim Datuk Noorin Badaruddin yang kemudiannya menetapkan tarikh baru iaitu 30 Jan tahun depan.
"Pihak kami mohon pendengaran hari ini ditangguhkan dan mohon satu tarikh lain bagi pengurusan kes seterusnya," kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad tidak membantah perkara itu. Hakim Noorin juga menetapkan 7 Dis ini untuk pengurusan kes.
Pada 23 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian.
Dia juga diarah menjalani hukuman penjara serta-merta selepas Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi, pada 3 Mei lepas, menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman. Selain itu, wanita itu juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Sumber: Astro Awani & Bernama