Siti Bainun Didapati Bersalah Dera Adik Bella, Penjara 12 Tahun

TERKINI
May 03, 2023 - 11:13 AM


Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella, di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Hakim Izralizam Sanusi dalam keputusannya berkata, pembelaan tertuduh bukan sahaja tidak dapat dipercayai atau diterima, malah ia gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Oleh yang demikian, secara keseluruhan saya memutuskan pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dan dengan itu tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan pertama dan kedua mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya ketika membacakan keputusan di sini, pada Rabu.

Kes Bella tular di media sosial selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda.

Susulan itu, pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November tahun sama, pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu.

Destination: