Pencipta Mesin Karaoke, Shigeichi Negishi Meninggal Dunia Di Usia 100 Tahun

TERKINI
March 18, 2024 - 12:22 PM


Pencipta mesin karaoke, Shigeichi Negishi dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 100 tahun di kediamannya di Tokyo, Jepun. Hal ini disahkan oleh anak perempuannya yang menyatakan mendiang menghembuskan nafas terakhir pada 26 Januari lalu, selepas terjatuh.

Individu yang lahir pada 1923 itu merupakan seorang peminat muzik dan menjadikan menyanyi sebagai salah satu hobinya. Walau bagaimanapun, hobi tersebut dikritik oleh rakan sekerjanya. Ketika itu, Negishi sedang bekerja sebagai seorang jurutera.

Kritikan tersebut kemudian memberi ilham kepada beliau untuk menghasilkan sebuah mesin yang membolehkan sesiapa sahaja menyanyikan lagu yang digemari.

Menurut sumber, pada waktu tersebut, karaoke merupakan suatu bentuk hiburan nyanyian dengan iringan muzik daripada live band atau rakaman instrumental.

Melihat kepada keadaan itu, Negishi memutuskan untuk mencipta mesin yang membolehkan orang ramai menikmati karaoke tanpa perlu bergantung pada instrumen muzik semata-mata.

Maka pada tahun 1976, terciptalah sebuah mesin yang dipanggil sebagai Sparko Box. Prototaip mesin karaoke yang berfungsi menggunakan duit syiling itu kemudian berkembang menjadi mesin karaoke yang kita kenali pada hari ini.

Bagaimanapun, Negishi tidak pernah menempa nama di atas ciptaan tersebut. Ini kerana, pelbagai isu yang timbul seperti mendapat tentangan dari komuniti pemuzik karaoke live band yang merasakan kehadiran mesin tersebut bakal mengganggu periuk nasi mereka. 

Hal tersebut menyaksikan beliau tidak mempatenkan ciptaan berkenaan.

Ada juga yang menggangap seorang lagi individu, Daisuke Inoue yang mencipta mesin karaoke pada tahun 1971 sebagai perintis kepada teknologi berkenaan.

Walaupun begitu, sumbangan Negishi kekal diingati dunia dan terpahat dalam lipatan sejarah sebagai orang pertama yang mencipta mesin berkenaan. 

 

Sumber: Siakap Keli

Destination: