"Penduduk Arab Saudi Dilarang Buka Puasa Di Masjid" - MBS

TERKINI
March 12, 2024 - 12:41 PM


Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS) telah mengeluarkan satu arahan baharu kepada rakyat Arab Saudi yang menyatakan larangan berbuka puasa di masjid sepanjang bulan puasa.

Menurut LiveMint, arahan ini disampaikan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi minggu lalu melalui beberapa siri arahan kepada pekerja masjid di seluruh negara yang menyatakan larangan tersebut adalah untuk menjaga kebersihan persekitaran masjid semasa bulan Ramadan. 

Sebaliknya, tempat yang sesuai harus disediakan di halaman masjid tanpa menggunakan bilik sementara, khemah, atau struktur sementara lainnya dan ia dibawa tanggungjawab imam dan muadzin, dengan mewajibkan orang yang berbuka untuk membersihkan tempat itu sebaik sahaja selesai makan.

Arahan ini jelas menunjukkan komitmen Arab Saudi dalam memastikan kebersihan dan keselamatan masyarakat Islam semasa mereka menyambut bulan Ramadan yang suci.

Selain larangan tersebut, terdapat juga arahan lain yang melarang imam dan muazin mengutip derma kewangan untuk mengadakan majlis berbuka puasa di dalam masjid.

“Kementerian menekankan kepada imam dan muazin di pelbagai wilayah kerajaan untuk tidak mengutip derma untuk acara berbuka puasa dan acara lain,” jelas arahan tersebut.

Disamping itu, Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi juga menyatakan penggunaan kamera tidak dibenarkan di dalam kawasan masjid kerana terdapat larangan merakam imam dan jemaah yang sedang menunaikan solat.

Kementerian juga mengeluarkan arahan agar doa tidak disiarkan dalam apa jua bentuk media termasuk media sosial. Oleh itu, tiada kamera dibenarkan berada di dalam kawasan masjid pada waktu solat, dan pengunjung diarah untuk menahan diri daripada membuat sebarang rakaman atau penggambaran.

 

Sumber: LiveMint

Destination: