"Perkara Ini Makan Masa 2 Tahun Lebih" - Disoal Netizen Tentang Sijil Halal, Khairul Aming Tampil Beri Penjelasan

TERKINI
February 19, 2024 - 03:32 PM


Sebagai orang Islam, pengambilan makanan yang halal merupakan aspek penting yang dititikberatkan. Setiap kali kita ingin membeli makanan atau pergi ke sesebuah kedai makan, pasti tanda sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dicari. 

Pempengaruh Khairul Aming, yang kini sedang popular dengan produk keduanya, Dendeng Sambal Nyet telah dipersoal oleh seorang individu tentang status sijil halal bagi produk-produk keluarannya.

Pertanyaan tersebut ditanya dalam sebuah platform lain di media sosial X. 

“Nak buat sijil halal susah ke? Dari dulu lagi tunggu produk Khairul Aming dapat sijil halal.

Khairul Aming sendiri pun ada kata nak buat (sijil halal) semasa tahun 2022. Sampai sekarang belum ada.” kata individu tersebut.

Menerusi akaun X peribadinya, Khairul Aming menjelaskan mengapa pihaknya mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan sijil halal. Menurutnya, beliau memang sudah ada perancangan untuk mendapatkan sijil halal. Bagaimanapun ada langkah yang lebih penting untuk dipenuhi terlebih dahulu.

“Satu persatu dulu. Pertamanya, dapatkan sijil MeSTI untuk pastikan kilang bersih dan selamat disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Perkara ini makan masa 2 tahun lebih sebab kita buat kilang dari scratch. Bukan sehari dua nak siapkan kilang sebab nak setup flow, pembelian mesin, proses renovasi, pengembangan kilang dan sebagainya.

“Tapi alhamdulillah KKM banyak bagi tunjuk ajar selama dua tahun lebih ini dan kita baru sahaja dapat sijil MeSTI pada 31 Januari 2024, dua hari sebelum Dendeng Nyet Berapi dilancarkan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, selepas berjaya mendapatkan sijil MeSTI, barulah beliau akan menyasarkan sijil halal produk diikuti dengan Good Manufacturing Services (GMP) dan Hazard Analysis & Critical Control Point (HACCP) untuk tujuan eksport.

Tambah Khairul Aming lagi, strategi itu telah dirujuk dengan semua pihak berkenaan untuk memastikan semua proses berjalan lancar.

Khairul Aming juga memaklumkan akan memberi perkembangan dari semasa ke semasa kepada orang ramai pada masa akan datang.

 

Sumber: X 

Destination: