Pecahkan 4 Rekod, Khairul Aming Bakal 'Restock' 35,000 Dendeng Nyet Berapi Di Shopee Malam Ini

TERKINI
February 16, 2024 - 04:22 PM


Pempengaruh terkenal, Khairul Aming yang sebelum ini mencipta rekod dengan produk pertamanya, Sambal Nyet Berapi kini mendedahkan bahawa produk terbaharunya iaitu Dendeng Nyet Berapi telah berjaya memecahkan empat rekod baharu di platform TikTok Shop Malaysia.

Menerusi video yang dimuatnaik di media sosial, Khairul Aming berkata, proses 'post mortem' telah dilakukan dan menjelaskan bahawa Dendeng Nyet Berapi berjaya menjadi produk yang paling banyak memecahkan rekod di TikTok Shop Malaysia. 

"Pada majlis pelancaran itu, ada empat rekod yang kita pecahkan termasuk jualan RM1 juta terpantas, iaitu selama tiga minit tiga puluh sembilan saat, kedua kita dapat 'peak views' tertinggi di Malaysia iaitu seramai 222,800 dalam satu-satu masa.

"Rekod ketiga kita dapat tontonan keseluruhan tertinggi iaitu seramai 3.4 juta dan rekod keempat kita dapat 'clickthrough rate' (CTR) tertinggi iaitu lebih daripada 400 peratus dan keempat-empat rekod ini adalah tertinggi dalam sejarah TikTok Shop Malaysia sehingga ke hari ini.

"Untuk dendeng ini Alhamdulillah kita dapat dalam masa tiga minit lebih dan malam itu juga kita dapat maklum balas yang baik daripada orang ramai mengenai tema pelancaran menggunakan layar berwarna hitam yang memudahkan orang ramai untuk membaca tulisan dan sebagainya," katanya lagi.

Sebelum ini di penghujung sesi jualan di TikTok, Khairul Aming ada memberitahu bahawa dia berjaya mencatat rekod jualan sebanyak 80,000 unit dalam tempoh masa 3 minit 39 saat sehingga meraih lebih dari RM1 juta.

Dalam pada itu, Khairul Aming juga menjelaskan terdapat juga kerosakan yang berlaku kepada Dendeng Nyet Berapi namun bilangannya hanya kecil iaitu sebanyak lima pek.

"Daripada 80,000 dendeng yang dijual malam itu, kerosakan yang berlaku hanyalah pada kadar 0.01 peratus dan ia sudah diganti baharu.

"Kita juga menerima maklum balas yang positif, ramai juga yang memberi lima bintang cuma ada yang mahukan tahap kemanisannya dikurangkan manakala tahap kepedasan ditambah selain tidak mahu tekstur daging yang jenis mudah terlerai, dan ada juga yang mahukan bungkusan ziplock.

"Maka saya sudah terima maklum balas ini dan akan ada penambahbaikan kelak," katanya.

Di akhir video tersebut, Khairul Aming juga mengumumkan bahawa Dendeng Nyet Berapi akan 'direstok' sebanyak 35,000 pek dan akan dijual di Shopee pada jumaat, 9 malam.

 

Sumber: X

Destination: