Perkhidmatan Pembaharuan Cukai Jalan BJAK Tiada Kelulusan JPJ

TERKINI
May 07, 2024 - 11:06 AM


Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengeluarkan kenyataan bahawa perkhidmatan BJAK tidak memiliki kelulusan daripada JPJ mahupun Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

JPJ dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa ada pihak yang merungut tentang perkhidmatan oleh BJAK. Antara rungutan tentang BJAK adalah berkenaan dengan caj tambahan serta tempoh sah cukai jalan yang tidak dikemaskini di dalam sistem MyJPJ.

Oleh itu JPJ menyatakan bahawa orang ramai digalakkan membuat pembaharuan cukai jalan dan lesen kenderaan di pejabat JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ mobile, aplikasi MyJPJ, portal rasmi JPJ serta beberapa portal rakan niaga JPJ iaitu MyEG, Pos Malaysia dan Puspakom.

JPJ turut mengingatkan orang ramai agar berhati hati menggunakan perkhidmatan orang tengah dalam memperbaharui lesen kenderaan atau cukai jalan yang tidak sah untuk mengelakkan kerugian atau masalah lain di kemudian hari.

Selain itu, JPJ turut menjelaskan iklan dikeluarkan syarikat itu di media sosial dan laman sesawangnya juga adalah tidak benar dan mengelirukan. 

“JPJ memandang serius kandungan iklan dikeluarkan oleh BJAK melalui laman sesawang dan media sosialnya berhubung perkhidmatan ditawarkan itu.

“Kita ingin memaklumkan, JPJ mahupun MOT tidak pernah memberikan kelulusan kepada mereka untuk menjalankan urus niaga terbabit.

Kenyataan ‘pembaharuan road tax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ’ dalam laman sesawang mereka juga tidak benar dan mengelirukan orang ramai,” katanya.

Sebagai info, BJAK merupakan perkhidmatan yang menawarkan pembaharuan cukai jalan dan pembaharuan lesen selain menawarkan perkhidmatan di atas talian dan menerusi laman sesawang mereka. 

 

Sumber: JPJ

Destination: