Projek Perintis Bawang Malaysia Berjaya Hasilkan 2.3 Tan Tuaian Pertama

TERKINI
April 04, 2024 - 12:34 PM


Projek perintis tanaman untuk hasilkan bawang Malaysia seluas satu hektar di Kampung Ladang Bikam, Sungkai telah berjaya memberikan hasil pengeluaran 2.3 tan tuaian pertama pada Rabu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, tuaian yang dimulakan pada Januari itu menggunakan varieti bawang merah BAW-1 melibatkan kawasan fasa 1 seluas 0.6 hektar.

Menurutnya, perkembangan itu menandakan kejayaan projek perintis penghasilan bawang tempatan yang dilaksanakan kerajaan.

"Hari ini kita telah melakarkan sejarah buat negara dengan pengeluaran bawang yang 100 peratus hasil dan milik negara Malaysia.

"Untuk penuaian pertama ini ia melibatkan fasa satu dan hanya membabitkan kawasan seluas 0.6 hektar dengan hasil pengeluaran sekitar 2.3 tan metrik. Selepas itu, penuaian akan bersambung kepada fasa dua dan fasa tiga.

“Saya yakin projek rintis ini mampu menjadi pencetus kepada pengeluaran bawang dalam negara sekali gus memenuhi keperluan rakyat Malaysia, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bawang import.

"Benih itu dikeluarkan dan dihasilkan oleh MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan ditanam oleh Jabatan Pertanian. Hari ini kita nampak projek ini benar-benar berjaya," katanya sempena majlis Tuaian Mega Projek Rintis Tanaman Bawang Kuala Bikam pada Rabu.

Hadir sama adalah Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi dan Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Arthur Joseph berkata, kejayaan tuaian pertama itu membuka peluang untuk menjadikan Perak sebagai hub pengeluaran bawang dengan menambah keluasan tanaman sedia ada.

Katanya, selain Sungkai, kementerian juga telah mengenal pasti kawasan baharu di daerah Kinta yang boleh dijadikan lokasi strategik penanaman bawang.

"Pagi tadi saya telah berjumpa dengan Menteri Besar Perak dan beliau sangat gembira apabila negeri ini telah mendahului negeri-negeri lain dalam projek tanaman bawang tempatan di Malaysia.

"Bagi penanaman di Sungkai, kita harap potensi hasil lebih besar sehingga 4 tan diperolehi menerusi tanaman fasa 2 dan 3 yang menggunakan varieti bawang merah BAW-2," katanya.

Selain Perak, beliau berkata, kementerian telah mengenal pasti lima lagi negeri iaitu Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan bagi melaksanakan projek mega tanaman bawang tempatan. 

 

Sumber: Sinar Harian

Destination: