"Saya Ambil Pengajaran" - Pengasas Vern's Mohon Maaf Isu Logo Kasut Mirip Kalimah Allah

TERKINI
April 08, 2024 - 03:11 PM


Pengasas syarikat kasut tempatan, Vern’s Holding Sdn Bhd, Datuk Seri Ng Chuan Hoo menjadikan isu logo kasut keluaran syarikatnya yang didakwa mirip kalimah Allah sebagai satu pengajaran agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Beliau yang membahasakan diri sebagai Ah Foo berkata, beliau meminta maaf atas kesilapan tersebut yang tidak disengajakan.

“Perkara ni walaupun salah faham, saya faham ia menyakitkan dan tak gembira masyarakat agama Islam, dalam salah faham ini, Ah Foo minta maaf berkenaan isu ini, hari ini saya ambil pengajaran akan salah faham ini, pada masa depan (saya) perlu lebih sensitif dan berhati-hati,” katanya.

Terdahulu, Ah Foo, 51, hadir ke Kompleks Islam Putrajaya bagi memberi penerangan berhubung logo kasut tersebut.

Beliau yang tiba berseorangan pada jam 10.50 pagi bersama sepasang kasut turut menunduk berulang kali di hadapan pengamal media memohon maaf kepada seluruh umat Islam berhubung isu yang berlaku.

Mengulas mengenai pertemuan kira-kira sejam bersama pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ah Foo berkata, beliau amat terharu dan berterima kasih atas layanan baik serta tunjuk ajar yang diberikan.

“JAKIM dan polis akan buat siasatan, selepas siasatan, langkah kedua perlu saya buat adalah beri kerjasama. Pada masa depan, berniaga perlu berhati-hari dan hormat walaupun satu salah faham,” katanya.

Jelas Ah Foo, beliau telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan jualan kasut terbabit serta merta selepas dimaklumkan mengenai isu tersebut daripada pembantunya semalam.

Semalam, tular di media sosial berkenaan dakwaan terdapat rekaan yang dikatakan mirip kalimah Allah pada tapak kasut wanita jenama tempatan.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengarah JAKIM untuk memanggil pihak berkaitan hari ini untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, setakat semalam, 8 laporan polis diterima di empat negeri berhubung dakwaan tersebut.

Setakat 7 malam tadi, polis berjaya merampas sebanyak 1,145 pasang kasut yang mempunyai lambang mirip kalimah Allah membabitkan beberapa negeri di utara dan selatan Semenanjung.

Vern’s dalam kenyataan semalam memaklumkan, pihaknya sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

Malah katanya, logo itu 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.

 

Sumber: Buletin TV3

Destination: