Selepas Gerakan Boikot KK Mart, Dr. Akmal Seru Boikot Aliff Syukri
TERKINISeperti sudah menjadi acara tahunan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, usahawan Datuk Seri Aliff Syukri sekali lagi menjadi perbualan netizen dengan memuatnaik teaser muzik video hari raya terbarunya.
Tidak mengejutkan apabila reaksi orang ramai rata-rata menyelar dan mengecam konsep yang dibawa untuk video tersebut dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr. Muhammad Akmal Saleh juga berkongsi pendapat yang sama.
Dr. Akmal Saleh yang sebelum ini menggerakkan kempen memboikot KK Mart kini menyeru umat Islam untuk turut memulaukan produk keluaran usahawan sensasi tersebut.
Menurut Dr. Muhammad Akmal, teaser video tersebut tidak sensitif terhadap kemuliaan bulan Ramadan.
@drakmalsaleh Kalau KKmart kita boleh boikot,apa lagi produk dia ni Setiap tahun ulang perkara yang sama,langsung xda perasaan sensitiviti pada rakyat di negara ini Saya mohon pihak kerajaan untuk menyekat video ini dan tindakan undang2 perlu diambil,yang mana kes pada tahun 2022 pon masih lagi berjalan untuk mamat ni mengenai isu yang sama Saya rasa sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengajar erti sebuah penyesalan pada dato aliff ini dengan kita boikot semua produk yang dijual oleh beliau Cukup cukuplah dengan drama minta maaf dan air mata yang diulang setiap tahun Kamu nak lihat kemarahan rakyat Malaysia kan?sila tunggu produk kamu akan diboikot Ini bukan content luar kotak,ini adalah content tiada otak!! Dr akmal saleh
♬ original sound - Drakmalsaleh
“Saya baru tengok video Datuk Aliff Syukri. Tak tahu nak tengok siapa. Sotong atau cacing pun kita tak tahu. Apa yang tergedik-gedik duduk di atas meja menari? Saya rasa ini adalah amat-amat tidak sensitif di kala bulan Ramadan ini.
“Ini bukan kali pertama sudah banyak kali. Datuk Aliff buat malah pada tahun 2022 telah didakwa di mahkamah dan kes itu masih lagi berjalan hingga ke hari ini atas kesalahan sama.
“Takkanlah setiap tahun nak buat nak minta maaf, tak boleh jaga ke sensitiviti umat Islam di kala bulan Ramadan ini,” soal beliau.
Dr. Muhammad Akmal berkata, tidak ada mana-mana pihak yang mahu menghalang Aliff Syukri untuk membuat dan mengeluarkan video lagu hari raya.
Namun katanya, tindakan Aliff Syukri membenarkan penari lelaki berpakaian mencolok mata dan menari tanpa ada perasaan segan silu seolah-olah tidak menghormati kemuliaan bulan Ramadan.
“Nak keluarkan video, nak keluarkan lagu, keluarlah. Tapi janganlah keluarkan video yang sakit hati dan sakit mata orang tengok. Langsung tak jaga sensitiviti dengan pakaian yang begitu. Yang menari nak kata sotong ke, cacing ke kita pun tak tahu,” kata beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu turut mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menyekat video Aliff Syukri di semua platform dalam talian.
Beliau turut menggesa tindakan undang-undang yang keras di ambil terhadap usahawan sensasi berkenaan.
“Kita minta semua rakyat Malaysia boikot KK Mart atas tidak jaga sensitiviti umat Islam di negara ini, sama juga kita minta seluruh umat islam untuk kita beri pengajaran keras kita boikot segala produk yang dikeluarkan oleh Datuk Aliff Syukri.
“Cukup-cukuplah ini bukan soal kamu nak jadikan konten, atau konten di luar kotak, ini adalah konten yang tak ada otak. Kita beri pengajaran keras kita boikot biar dia tahu bagaimana kemarahan orang Malaysia ini,” katanya.
Aliff Syukri semalam membuat permohonan maaf selepas ditegur secara terbuka oleh ibunya, Bonda Rozita.
Menerusi video dikongsikan di Instagram, Aliff berkata dia telah pun memadam teaser muzik video berkenaan dan turut memohon maaf andainya video tersebut dianggap keterlaluan.