Thailand Bakal Perkenal Visa "Muay Thai", Pelancong Boleh Tinggal 3 Bulan Di Thailand

TRAVEL
January 16, 2024 - 12:00 PM


Ada berita baik untuk semua kaki travel! Lebih-lebih lagi untuk korang yang gemar bercuti ke Thailand! Jika anda berminat untuk mengenali mahupun mendalami budaya negara gajah putih ini, kerajaan Thailand sedang merangka dan bakal memperkenalkan visa "Muay Thai" baru di mana pelancong boleh tinggal di Thailand selama 90 hari!

Diumumkan oleh Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, menerusi akaun rasmi X beliau, visa Thai istimewa yang baru selama 90 hari itu bakal memberikan pelancong tambahan 30 hari berbanding visa 60 hari yang sedia ada.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk menggalakkan lagi industri pelancongan negara serta mempromosikan seni bela diri yang sinonim dengan budaya mereka iaitu Muay Thai sebagai warisan budaya global.

Tambahan, Perdana Menteri Thailand juga menyatakan bahawa negara tersebut merancang untuk meluaskan visa istimewa 90 hari ke warisan budaya Thai lain seperti tarian Thai, muzik, dan juga makanan.

Sebagai rujukan, rakyat Malaysia boleh melancong ke Thailand dan mana-mana negara anggota ASEAN yang lain tanpa visa selama 30 hari. Mereka yang merancang untuk tinggal lebih lama boleh memilih untuk mendapatkan visa ketibaan dengan bayaran setibanya di Thailand, sekaligus membolehkan anda melanjutkan tempoh percutian tambahan ke 30 hari, dengan total 60 hari berada di Thailand.

Visa Muay Thai baru ini memberikan anda pilihan untuk tinggal selama 90 hari tanpa perlu memperbaharui seperti visa ketibaan. Walau bagaimanapun, kita nantikan pengumuman rasmi dan tarikh pelaksanaan visa terbaru ini!

 

Destination: