8 Lokasi Menarik Di Kelantan, Terengganu Yang Boleh Buat 'Jiwa Melayu' Korang Kembali Membara!

TRAVEL
July 04, 2022 - 11:23 AM


Sekarang ini satu Malaysia tengah demam filem klasik pahlawan Melayu iaitu 'Mat Kilau' yang sedang mencetuskan fenomena sehingga pecah panggung apabila mendapat kutipan jualan tiket sehingga RM11 juta hanya dalam tempoh 4 hari tayangan.

Lebih dahsyat dengar kata Mat Kilau sampai dah pecah rekod kutipan RM39 juta, sekaligus mengalahkan rekod filem Munafik 2 yang hanya berjaya mengutip RM37.7 juta.

Mesti sekarang korang pun tengah semangat berkobar-kobar bangga darah Melayu mengalir dalam diri masing-masing, kan! Hehehe...

Kalau korang nak merasai sendiri suasana umpama kembali ke zaman silam, korang boleh menikmatinya dengan sebuah percutian ke 2 buah negeri Pantai Timur yang cukup sinonim dengan kekayaan adat serta budaya Melayu iaitu Kelantan dan Terengganu.

Baru-baru ini Rileklah diberi peluang oleh pihak agensi pelancongan, Ping Anchorage Travel & Tours dengan kerjasama Gaya Travel Magazine untuk merasai sendiri pengalaman menjejaki peradaban Melayu menerusi percutian di Terrapuri Heritage Village iaitu sebuah perkampungan rumah tradisional Melayu Terengganu yang cukup popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara.

Dengan mengambil pakej percutian yang ditawarkan oleh Ping Anchorage Travel & Tours ini -- korang juga berpeluang melawat dan berkunjung ke beberapa tarikan istimewa yang menepati jiwa kemelayuan kita.

Jom kita lihat senarai lokasi menarik yang kami kunjungi sepanjang percutian 3 hari 2 malam di Terengganu & Kelantan.

1) TERRAPURI HERITAGE VILLAGE

Jika bercuti ke Terengganu atau sebelah Pantai Timur dan inginkan sebuah penginapan di resort yang membawa korang seakan merentasi masa ke zaman silam -- korang kena cuba bermalam di Terrapuri Heritage Village ini yang tersergam indah di tepian Laut China Selatan dan sungai berpaya bakau, Setiu Wetland.

Sebaik menjejakkan kaki di sini, hati cukup teruja untuk mengintai setiap inci ‘permata’ pelancongan yang terletak di Kampung Mangkuk, Penarik, Setiu, Terengganu.

Terrapuri sebenarnya membawa maksud ‘Tanah Istana’ dan tidak hairanlah semua bilik penginapannya beserta dekorasi seakan membawa tetamu kembali ke zaman kegemilangan Kesultanan Melayu atau lebih tepat lagi Kerajaan Melayu Purba Langkasuka yang terkenal dengan Hikayat Merong Mahawangsa.

Bercuti di sini, bermakna kedamaian dan ketenangan bakal korang perolehi. Ini kerana korang akan dapat melarikan diri seketika daripada rutin harian apabila tiada televisyen, tiada kemudahan WIFI, malah liputan rangkaian telefon juga sangat terhad.

Terletak di atas tanah seluas hampir empat hektar, Terrapuri Heritage Village menempatkan 29 buah rumah Melayu lama yang diambil dari seluruh pelusuk negeri Terengganu.

Setiap rumah ini punya kisah tersendiri dan ia dinamakan mengikut lokasi asalnya seperti Seberang Takir, Paloh, Pulau Musang, Kedai Buluh, Binjai, Sungai Mas, Pengkalan Kubu, Dusun dan Nibong.

Setiap rumah masih menggunakan peralatan-peralatan lama bagi mengekalkan ciri-ciri tradisional.

Begitu juga dengan dekorasinya. Semua alatan atau perhiasan yang ada di dalam setiap rumah adalah barang-barang asal yang ada di rumah terbabit.

Jika korang mendambakan sebuah percutian eksotik, damai mempesona -- Terrapuri Heritage Village adalah jawapannya.

Walaupun ia berkonsep rumah tradisional tetapi masih menawarkan kemudahan moden seperti kolam renang, tapi paling win di Terrapuri adalah tab mandi yang diperbuat daripada kayu sangat menerapkan gabungan elemen moden-klasik!

Tak sampai 100 meter, panorama keindahan pantai juga boleh dinikmati di sini. Jangan lupa juga untuk mencuba sajian hidangan kampung di Terrapuri pasti korang takkan menyesal dan silap-silap bertambah nasi. Hehehe....

2) PANTAI PENARIK & PANTAI KAMPUNG MANGKUK

Bercuti di Terrapuri korang akan dapat 'pakej' pemandangan pantai yang cukup menakjubkan persis di dalam iklan mahupun filem dan drama.

Ini kerana resort penginapan tersebut terletak di Pantai Penarik dan begitu hampir dengan satu lagi lokasi view pokok kelapa yang cantik untuk bergambar iaitu Pantai Kampung Mangkuk.

Jalan-jalan makan angin di kedua-dua pantai terindah di Terengganu ini dijamin semua stress dan tekanan kerja korang akan terus hilang sebaik menikmati angin bayu laut dan mata pula dihidangkan dengan panorama lambaian dedaun pohoh kelapa dan daun ru yang ada di sepanjang pantai berkenaan.

Pantai Penarik mempunyai daya tarikannya tersendiri dan keindahan alam semula jadi pantai yang belum terusik dek projek pembangunan menjadikan ia antara lokasi yang perlu dilawati.

Ia juga merupakan lokasi yang paling sesuai untuk korang menikmati pemandangan matahari terbit dan tenggelam serta memang spot terbaik kalau korang nak bergambar Instagrammable!

3) KAMPUNG BUDAYA TERENGGANU

Tak sah rasanya kalau bercuti ke Terengganu tapi tak menjejaki susur galur budaya negeri tersebut.

Jadi lokasi yang paling tepat untuk korang kunjungi adalah Kampung Budaya Terengganu di Muzium Negeri Terengganu.

Di sini menawarkan 7 perhentian iaitu Rumah Nelayan, Rumah Bujang Berserambi Selasar, Rumah Bujang Berkembar, Rumah Limas Belanda, Rumah Tele, Istana Tengku Long, Laman Singgahsana dan Laman Warisan.

Paling menarik adalah korang berpeluang menonton sendiri pelbagai demonstrasi berunsur kebudayaan oleh warga setempat seperti silat, pembuatan jala, bubu, keropok, seni dan ukiran khat, kayu, anyaman, wau, gasing, tembikar, tembaga, keris, pameran pakaian tradisional, mencanting batik, memasak bubur Asyura serta persembahan berzanji.

Harga tiket dikenakan adalah RM15 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak) rakyat Malaysia manakala warga asing pula dikenakan RM30 (dewasa) dan RM20 (kanak-kanak) sementara warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dikenakan bayaran RM10.

4) KOPI PAYONG

Dah settle jalan-jalan ambil gambar di Pantai Penarik dan terasa dahaga -- korang boleh singgah pula ke sebuah kedai kopi yang semakin viral dan menjadi tumpuan coffee lovers iaitu Kopi payong!

Kopi Payong ini tidak seperti kafe hipster biasa yang ada di bandar, tetapi lebih istimewa di sini korang berpeluang mengopi style Ganu iaitu minum kopi bawah pokok kelapa sambil menikmati pemandangan indah tepi pantai yang cukup menenangkan jiwa. Memang syok betul!

Kalau korang nak tahu Kopi Payong ini ada beberapa cawangan di seluruh Terengganu iaitu di Batu Rakit, Bukit Besar, Bukit Payong dan Rhu Muda.

Ia beroperasi setiap hari kecuali Rabu dari pukul 2 petang hingga 7 malam.

5) KRAF ATAP SINGHORA

Jika korang bercuti di Terrapuri korang pasti akan perasan bahawa rumah-rumah tradisi lama di situ menggunakan atap Singhora, iaitu bumbung berkonsep tradisional yang diperbuat daripada tanah liat.

Dan korang jangan tak tahu bahawa atap Singhora kini menjadi trend kepada penggunaan atap bata untuk disuai padankan dengan pasaran seni taman seperti wakaf, gazebo, pagola, chalet dan resort.

Namun realitinya kini Malaysia hanya mempunyai satu-satunya pengusaha atap Singhora yang masih ada di Kelantan dan negara ini iaitu Noraini Jusoh yang masih mempertahankan legasi turun-temurun menerusi perusahaan kraf atap singhora yang terletak di Kampung Pengkalan Baru, Bachok, Kelantan.

Jadi rugi sekiranya korang bercuti ke Terengganu jika tidak berjumpa Noraini atau lebih mesra disapa Kak Ani di Kelantan dan melihat sendiri proses membuat atap bata Singhora yang tidak dijumpai di tempat lain.

Menurut Kak Ani, proses membuat atap Singhora bermula seawal 8 pagi -- bata yang terhasil daripada tanah liat yang diambil di tebing sungai berhampiran, diuli lumat menggunakan mesin khas menjadi ketulan tanah liat lembut.

Bila sudah cukup lembutnya, ketulan tanah liat itu diletakkan di atas acuan yang dipanggil sarang bata dan di sinilah bermulanya 'tarian' mengacuan kepingan atap.

Sambil memampat tanah liat, abu sekam padi dicampakkan ke atas acuan untuk mengelakkan tanah liat daripada melekat pada sarang bata.

Dengan menggunakan kaki, tanah liat itu dimampatkan sebelum dipotong menggunakan pemotong khas diperbuat daripada dawai dengan saiz ketebalan kira-kira satu sentimeter.

Usai memampat menggunakan kaki, hasil bata yang masih lembut disusun dan dijemur selama satu jam jika cuaca panas terik dan kemudiannya dibakar.

Selalunya atap-atap bata tersebut akan dikumpul dahulu sehingga sekurang-kurangnya 50,000 keping dan untuk mendapatkan jumlah itu, ia mengambil masa kira-kira tiga bulan.

Bagi proses membakar pula, kepingan atap itu akan 'dimasak' selama 15 hari dengan 10 hari pertama menggunakan api kecil dan baki harinya menggunakan api besar dan sepanjang proses ini, Kak Ani akan mengupah beberapa orang lelaki untuk melakukannya.

Pembakaran dilakukan di dalam relau atau dalam bahasa tempatannya Gok -- berbentuk iglu yang diperbuat daripada bata dan tanah yang ditutup rapat sepanjang proses pembakaran.

Dalam satu-satu masa, Gok ini boleh membakar sehingga 40,000 keping dan pekerja akan bergilir bekerja mengikut saiz api.

Melengkapkan proses, kepingan atap yang berukuran 12.7 cm lebar dan 25.4 cm panjang itu akan disejukkan selama 10 hari sebelum diserahkan kepada pelanggan yang menempahnya.

Antara pelanggan Kraf Atap Singhora adalah Istana Jugra, Selangor; Masjid Kampung Laut, Kelantan); Tasik Kenyir Resort serta Peladang Agro Resort di Setiu, Terengganu.

Malah asbab pembinaan 29 vila di Terrapuri Heritage Village di Penarik, Terengganu yang menggunakan atap Singhora juga menjadikan perusahaan berkenaan yang juga bengkel utama penghasilan atap bata itu mula dikunjungi pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Istimewanya atap Singhora ini selain reka bentuknya seakan bercorak sisik ikan dan berwarna merah terang, ia juga berfungsi menyejukkan rumah dan tahan lama di mana rata-rata atap itu mampu bertahan antara 80 hingga 90 tahun lamanya.

6)  RESTORAN SINGGORA

Kalau dah namanya trip menjejak warisan Langkasuka -- juadah hidangan makan tengah hari juga dah semestinya menu masakan kampung Kelantan dan Pantai Timur paling onzz!

Tempat yang wajib korang singgah jika nak merasai kelazatan lauk-pauk kampung dan pekena budu serta singgang ikan, korang kena tempah untuk makan di Restoran Singgora yang terletak di Kampung Air Deras, Pasir Hor.

Dari jauh, rumah dengan seni bina Melayu tradisional ini gagah berdiri. Dibina dari binaan kayu cengal lama
dan atap singgora -- rumah penginapan dan tempat makan sedap di tengah bandar Kota Bharu menjadi
viral hingga dikunjungi ramai termasuk golongan VIP, artis, instafamous dan orang ramai untuk
menikmati suasana indah dan damai di sini.

Tidak hanya seni binanya yang cantik, seolah kita dibawa ke zaman silam Melayu lama tetapi di sini juga sangat popular dengan juadah tradisional yang rasanya mendapat pujian 10 bintang kerana semua makanannya sedap-sedap belaka.

Lebih terbawa-bawa perasaan itu apabila semua makanan dihidangkan dalam pinggan lagend seolah-olah mengenang zaman kita kecil dahulu.

Melihat kepada senarai menu yang ditawarkan pula memang boleh buat kecur liur antaranya ikan rebus goreng, ayam gulai kawah, solok lada, acar masak pisang benggala, kulat sisir, lala masak serai, ulam- ulaman serta lebih 45 jenis kuih-muih tradisional yang susah didapati di tempat lain.

Lebih unik, jika menjamu selera di Singgora bukan sahaja perut korang kenyang malah sebagai halwa telinga korang juga dihiburkan dengan alunan muzik tradisional yang dimainkan secara live oleh sekumpulan pemuzik tempatan.

Kalau korang nak tahu juga Restoran Singgora ini bukan saja menjadi lokasi menjamu selera, malah ia juga sebenarnya ada menyediakan penginapan homestay untuk pengunjung menikmati suasana kampung yang sebenar-benar kampung.

Namun sebelum mahu singgah makan menu masakan popular Kelantan ini atau tak nak rasa kecewa, diingatkan supaya membuat tempahan dahulu antara 3 atau 4 hari sebelum korang berkunjung ke sini. Ini kerana tiada walk-in disediakan di premis ini ya!

7) MASJID AR-RAHMAN

Dah kenyang perut dan nak menunaikan solat pula, korang boleh singgah ke sebuah masjid yang cukup memukau dengan keunikan seni bina dan dekorasi dalaman serta luaran yang banyak menyelitkan elemen Melayu Kelantan, Nusantara dan sedikit sentuhan Timur Tengah.

Masjid yang dimaksudkan adalah Masjid Ar-Rahman yang terletak di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Sebaik menjejakkan kaki ke sini mata korang pasti terkesima melihat betapa halus dan unik ciri-ciri Islam yang diterapkan di setiap perincian di masjid tersebut.

Dari pili untuk mengambil air wuduk, beduk, batu perhiasan dengan ukiran ayat Al-Quran, 5 tiang utama di ruangan solat serta pintu gerbangnya semuanya penuh dengan hiasan berunsur Islam.

Seolah-olah berada di tengah-tengah pulau, masjid ini sebenarnya dibina di atas tanah paya bakau.

Selain menitik beratkan rekaan yang menarik, Masjid Ar-Rahman ini juga menerapkan ciri teknologi hijau dalam memastikan ia mesra alam.

Tanpa menggunakan penghawa dingin, solat di dalam masjid ini agak sejuk kerana binaan tingkap dari atas ke bawah di sekeliling bangunan ini secara tidak langsung membuka laluan angin.

Bukan itu sahaja, ciri-ciri masjid ini juga adalah sangat praktikal bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas yang mempunyai masalah sakit kaki.

Dengan hanya dua mata tangga dan ada juga laluan kerusi roda, masjid ini turut menyediakan tandas duduk bagi kegunaan mereka.

8) PERAHU TRADISIONAL & PERKAMPUNGAN CINA PERANAKAN PULAU GAJAH

Dah alang-alang korang berada di Pulau Gajah, korang jangan lepaskan peluang untuk melihat secara dekat betapa cantik perahu tradisional Pantai Timur yang kaya dengan motif unik dan lain daripada yang lain.

Korang boleh je singgah di mana-mana perkampungan nelayan yang ada di sepanjang Pulau Gajah untuk mengambil gambar OOTD berlatar belakangkan deretan perahu-perahu cantik itu.

Dah puas bergambar dengan perahu, korang boleh meneruskan perjalanan dengan singgah ke Perkampungan Cina Peranakan yang juga terletak berhampiran Pulau Gajah.

Uniknya rumah-rumah di sini adalah ia dihuni oleh golongan Cina Peranakan Kelantan sejak ratusan tahun dahulu, namun sehingga kini pewaris mereka yang berbangsa Cina masih lagi mengamalkan kehidupan dan budaya seperti orang Melayu Kelantan.

Bukan saja setakat bahasa pertuturan malah pakaian, makanan dan rupa paras mereka juga tiada bezanya dengan orang Melayu. 

Jadi kunjungan ke sini pastinya bakal membakar dan menyemarakkan lagi semangat kemelayuan yang ada dalam darah daging diri kita apabila melihat betapa 'Melayunya' masyarakat cina di perkampungan ini.

P/S: Banyak tempat menarik di Terengganu dan Kelantan yang boleh korang plan untuk percutian 'Jejak Langkasuka' nanti, kan? Jika korang berminat dengan trip sama yang kami ikuti ini, korang boleh saja hubungi Ping Anchorage Travel & Tours atau Terrapuri untuk pakej percutian menarik!

Destination: