Ipoh Miliki Hard Rock Cafe Kelima Di Malaysia, Bakal Dibuka Disember Depan!

TRAVEL
June 19, 2023 - 01:27 PM


Kalau sebut tentang port untuk jalan-jalan cari makan atau 'weekend getaway' -- bandar hipster Ipoh di Perak antara lokasi kegemaran yang pasti menjadi pilihan anak-anak muda dan pengunjung, terutama mereka dari ibu kota Kuala Lumpur.

Selain jaraknya yang dekat hanya mengambil masa pemanduan sekitar 2 jam, Ipoh juga banyak tempat makan yang menawarkan pelbagai hidangan lazat dan kafe-kafe hipster untuk mereka bersantai.

Terbaharu Ipoh dijangka bakal menerima lebih ramai pengunjung dari luar apabila jenama kafe hiburan antarabangsa terkenal, Hard Rock Cafe membuka premisnya di sana.

Kafe kelima dalam rangkaian Hard Rock di Malaysia tersebut akan dibuka pada Disember nanti di kawasan komersial Palo 101, Jalan Sultan Iskandar, Ipoh.

Bagaimana pun, buat permulaan The Rock Shop iaitu kedai menjual barangan Hard Rock telahpun dibuka pada 16 Jun baru-baru ini.

Naib Presiden Kawasan Asia Pasifik Hard Rock Cafe Antarabangsa, Malcolm Chao berkata, pembukaan Hard Rock Cafe di Ipoh bersesuaian dengan lokasi bandar raya tersebut.

Katanya, Ipoh menyertai bandar-bandar besar lain dalam rangkaian tersebut iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru.

"Bagi saya peningkatan kadar pengunjung ke sini menjadi sebab mengapa ia sesuai untuk dibuka termasuk kedudukan Ipoh di tengah-tengah laluan utara selatan.

"Sudah tiba masanya kita menarik lebih ramai pelancong antarabangsa untuk melawat Ipoh.

"Banyak perkara boleh diteroka di sini dengan kawasan pelancongan yang menarik," katanya.

Pembukaan Hard Rock Cafe Ipoh juga diyakini membantu meningkatkan ekonomi bandar raya Ipoh dan negeri Perak dalam sektor pelancongan.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pembukaan Hard Rock Cafe sesuatu yang dialu-alukan khususnya pada Tahun Melawat Ipoh 2023 dan Tahun Melawat Perak 2024.

"Rancangan kita adalah untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar pelancongan utama negara pada tahun 2025.

"Antara strategi kita ialah dengan menarik jenama-jenama antarabangsa untuk beroperasi di sini yang mana Hard Rock adalah satu daripadanya.

"Ipoh ini bukan hanya sebagai ibu negeri semata-mata, tetapi bandar wilayah. Kita mahu gerakkan kawasan ini sebagai lokasi pelancongan berasaskan ekopelancongan dan seni," ujarnya.

Destination: