Kisah Tersembunyi Disebalik Kota Biru Yang Mendamaikan di Jodhpur India

TRAVEL
January 09, 2024 - 01:28 PM


Jodhpur, sebuah kota di tengah-tengah negeri Rajashtan terkenal kerana kekuatan empayarnya sekitar abad ke-15. Ketika itu, kota yang terletak di lokasi strategik di tengah laluan dagang utama di antara Gujerat dan Delhi, dilengkapi sistem pertahanan terkuat yang menyokong sistem pemerintahan berstuktur kemas.

Kelebihan kota ini menjadikan Jodhpur lokasi paling sesuai sebagai ibu negeri Marwar, iaitu nama lama Rajashtan sebelum pusat pemerintahan dipindahkan ke Jaipur.

Jodhpur dikenali Kota Biru kerana hampir seluruh bangunannya berwarna biru yang serba mendamaikan.

Ia menjadi pintu masuk ke Gurun Thar di utara India, mudah dihubungi melalui kereta api yang merangkaikan dengan Delhi, Jaipur, Mumbai, Ahmedabad, Jaisalmer & Ajmer.

Lebuh raya serta pengangkutan udara ke kota ini juga berkembang dengan pesat.

Penulis tiba di Jodhpur dengan menaiki keretapi dari Jaisalmer. Penginapan di kota biru berkenaan awal-awal lagi sudah ditempah, kebetulan pula pemilik penginapan di Jaisalmer dan Jodhpur saling mengenali. Pengalaman penulis di Jodhpur pada November 2008 masih belum tersedia tempahan penginapan seperti agoda, booking.com dan sebagainya.

Sebaik menjejak kaki di Kota Jodhpur jam 5.30 pagi itu, suasana di stesen kereta api dipenuhi orang ramai yang tidur bergelimpangan di ruang tengah bangunan utama. Tanpa melengahkan masa, penulis terus mendapatkan auto rickshaw yang cukup popular di India menuju tempat penginapan untuk berehat kerana tidur agak terganggu ketika dalam perjalanan dari Jaisalmer.

Tidak sabar rasanya untuk berbaring di atas tilam yang empuk, namun hampa kerana semua bilik masih berpenghuni dan tetamu hanya dibenarkan mendaftar masuk jam 7 pagi. Lalu sofa di lobi menjadi sasaran selepas dibenarkan pemilik rumah penginapan.

Kelihatan beberapa pengembara lain turut tiba dan kami sama-sama berehat di ruang menunggu sambil dari semasa ke semasa melihat jarum jam bergerak sehinggalah jam 8 pagi, namun bilik yang dijanjikan belum tersedia.

Pada wajah pemilik penginapan, kelihatan riak serba salah, mungkin resah kerana ramai tetamu terpaksa menunggu agak lama.

Perut mula berkeroncong minta diisi, namun restoren di tingkat paling atas bangunan itu belum menunjukkan tanda untuk memulakan operasinya, lalu bekalan roti dan serunding daging yang dibawa dari tanahair dikeluarkan dari beg sandang.

Ketika bersiap sedia untuk menjamah hidangan, satu lagi perkara timbul apabila penulis tidak dibenar menggunakan pinggan mangkuk di restoren tersebut kerana pemiliknya seorang “vegetarian” atau hanya makan sayur-sayuran.

Alah bila tegal bisa, tidak menjadi masalah kepada penulis untuk mengisi perut.

Selesai bersarapan, barulah pemilik memaklumkan bilik sudah tersedia, tetapi ia bukan di bangunan utama itu, sebaliknya milik adik angkatnya yang terletak selang beberapa bangunan dari situ.

Ketika mahu ke tempat penginapan yang dimaksudkan, terasa diri seperti tidak begitu dilayan, lebih-lebih lagi apabila pemilik rumah penginapan asal memberikan bilik kepada tetamu yang tiba selepas penulis.

Terasa seperti “dihalau secara terhormat” oleh pemilik berkenaan, mungkin kerana penulis sebelum itu memilih mengisi perut dengan makanan daging lembu di premis pemilik yang beragama Hindu.

Bagi penulis, kejadian itu mengajar supaya kita peka dan berhati-hati dengan sensitiviti agama, budaya serta persekitaran masyarakat, bukan sahaja di negara sendiri bahkan di perantauan.

Kembara ke Jodhpur diisi dengan kunjungan ke Kubu Megrangarh yang menjadi mercu tanda utama kota ini dan kubu terbesar di Rajasthan yang tidak pernah ditakluki mana-mana pihak.

Terletak atas bukit kira-kira 150 meter bersebelahan kota lama atau Kota Biru Jodhpur, Kubu Mehrangarh bukan saja berfungsi sebagai benteng pertahanan, tetapi juga sebagai puncak pemantauan yang dapat melihat keseluruhan kota lama.

Dibuka pada 1458, kubu ini kini dijadikan kompleks muzium yang mempamerkan pelbagai antikuiti peperangan dan koleksi tandu, termasuk yang digunakan di atas gajah selain kelengkapan diraja Rao Jodha.

Dengan bayaran Rs250 atau kira-kira RM18.50, termasuk caj yang dikenakan bagi kamera, kompleks muzium setinggi empat tingkat ini terserlah mesra pengunjung kerana langsung tidak menggunakan khidmat jurupandu.

Sebaliknya, lawatan pengunjung dibimbing secara audio atau melalui sistem ‘audio tour’ bagi menceritakan kisah disebalik setiap objek yang dipamerkan dan lebih menarik lagi, turut dilengkapi kesan khas bunyi-bunyian zaman peperangan.

Dari tebing kubu, pengunjung dapat menyaksikan maksud sebenar Kota Biru atau kota lama bekas pusat pemerintahan di Jodphur seluas lima kilometer persegi yang menempatkan lebih sejuta penduduk itu.

Dinamakan sebegitu kerana hampir keseluruhan bangunan disitu diwarnakan biru, manakala di celah-celah bangunan pula menempatkan ruang niaga menjual pelbagai barangan.

Setiap lorong dikhaskan menjual satu produk, umpanya satu lorong menjual rempah ratus, manakala yang lain menjual tekstil, pakaian, makanan tradisional, produk besi, rotan, ubat-ubatan, atau kelengkapan dalaman rumah yang dihasilkan secara tradisional.

Untuk merasakan sendiri suasana hiruk-pikuk di Kota Biru, penulis memilih berjalan kaki untuk menyaksikan gelagat tawar menawar di antara peniaga dan pemborong dengan pelanggan.

Kini semakin banyak rumah penginapan dibina di Kota Biru dan masing-masing menyediakan restoran di aras bumbung bagi memudahkan tetamu menyaksikan pemandangan Kubu Mehrangarh dan sekitar kota.

Jika anda, berpeluang ke India tidak rugi singgah di Jodphur yang pastinya menjanjikan pengalaman amat menarik.

Penulis : Mohd Zulkifli Hashim