Makin Mudah SOP Nak Melancong Ke Bali Sekarang. Ini 5 Tempat Wajib Masuk Itinerari Korang!

TRAVEL
July 12, 2022 - 05:59 PM


Memandangkan sekarang ini pintu sempadan antarabangsa kebanyakkan negara termasuk Malaysia telah kembali dibuka untuk pelancong asing, pasti ramai yang tak sabar nak 'terbang' ke oversea, kan! Walaupun setakat melancong ke negara jiran terdekat seperti Singapura, Thailand ataupun Indonesia.

Baru-baru ini min bersama 2 orang travel buddies juga tidak melepaskan peluang untuk beratur dan 'mencantikkan semula' pasport antarabangsa kami dengan cop Imigresen dari Indonesia atau lebih tepat kami bertiga bercuti santai ke salah sebuah pulau pelancongan popular dunia iaitu BALI!

Sempadan negara baru buka ni kita pergi yang dekat-dekat dulu dan masih dalam bajet yang berkemampuan jela, kan...hehehe

Sebelum min tulis dengan panjang lebar ke mana kami bercuti di Bali, min nak kongsikan dulu perkara penting sebelum korang beli tiket penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai iaitu SOP terkini untuk melancong ke sana.

Sekarang SOP bercuti ke Bali semakin mudah dan paling best adalah tiada lagi keperluan untuk membuat ujian kendiri atau PCR untuk Covid-19! So dah boleh jimat kat situ.

5 SOP TERKINI BALI

1) Pastikan korang dah beli tiket penerbangan untuk pergi dan balik serta cetak siap-siap biar senang dorang check dan cepat je korang lepas pemeriksaan kat airport nanti.

2) Tempah hotel lebih awal dan juga cetak kesemua resit booking untuk tujuan pemeriksaan di airport.

3) Beli insurans perjalanan atau travel insurance yang cover minimum 20,000 USD. Min beli kat Etiqa je ambil yang paling maksimum coverage pun tak sampai RM100. Ni link yang min beli --https://www.etiqa.com.my/v2/travel-insurance-takaful

4) Cetak Sijil Lengkap Vaksin MySejahtera

5) Muat turun Aplikasi PeduliLindungi (seakan MySejahtera tetapi Indonesia punya)

Bila dah selesai semua persediaan SOP untuk ke Bali, sekarang tiba masanya pula kita senaraikan lokasi-lokasi menarik bagi percutian santai kami selama 4 hari 3 malam.

Sebenarnya Bali mempunyai 1001 port percutian yang best bergantung kepada jenis travel yang korang inginkan.

Namun memandangkan trip min kali ini hanyalah sebuah trip santai-santai bawa salah seorang member yang baru pertama kali menjejakkan ke Bali makanya ini 5 senarai lokasi wajib korang singgah bagi menandakan korang dah sampai Bali. Hehehe...lesgooooo!

1) NUSA PENIDA

Okay kita mulakan cerita percutian min dengan kunjungan ke Nusa Penida iaitu sebuah pulau eksotik yang terletak di bahagian tenggara Bali.

Meskipun Nusa Penida bukanlah lokasi terbaik yang lengkap dengan infrastruktur mesra pelancong, namun rugi sekiranya korang tak singgah ke sini kerana ia memiliki lagun dan tebing yang sangat memukau pandangan mata dan hati sesiapa yang melihatnya.

Untuk ke Nusa Penida korang kena menaiki bot besar dari Pantai Sanur dan perjalanan mengambil masa sekitar 45 minit.

Setibanya di Nusa Penida adalah lebih baik korang dah tempah dulu tour guide merangkap pemandu kereta menerusi pakej day tour yang siap dengan makanan tengah hari sebab di sana nanti lebih senang untuk korang jalan-jalan keliling Nusa Penida.

Dah sampai ke Nusa Penida korang akan dibawa jalan-jalan ke 4 tarikan utama di sana iaitu:

- Kelingking Beach

- Angel Billabong

- Broken Beach 

- Crystal Bay

Sebenarnya selain melawat keindahan tarikan di Nusa Penida dan merakamkan gambar serta video yang memukau, kat sini juga ada aktiviti ekstrem air seperti scuba diving atau surfing bagi korang yang berminat.

Tetapi memandangkan trip min adalah berkonsepkan santai-santai, maka kami tidak melakukan sebarang aktiviti air melainkan berposing untuk bergambar je! Hahahaha....

2) PURA LEMPUYANG, KARANGASEM

Pura Lempuyang adalah yang paling underrated di Bali. Terletak di bahagian timur Bali, perjalanan untuk ke Pura Lempuyang mengambil masa hampir dua jam. Buat penganut Hindu, Pura Lempuyang merupakan antara kuil tertua di Bali.

Setibanya di sini, kenderaan korang perlu berhenti di parking lot bawah dan korang akan dibawa menaiki shuttle bas untuk menuju ke atas bukit di mana terletaknya Pura Lempuyang.

Selepas tiba di pit stop terakhir korang perlu memakai kain yang disediakan khas untuk pelancong sebagai menghormati etika berpakaian di tempat ibadah masyarakat Hindu Bali tersebut.

Nak ke sini korang kena fit dan sihat tubuh badan tau sebab korang akan perlu berjalan kaki sedikit untuk sampai ke bahagian atas. Tetapi jangan risau penat korang mendaki tu nanti pasti akan hilang apabila melihat pemandangan dari atas Pura Lempuyang ini.

Lebih-lebih lagi apabila korang menyaksikan sendiri port bergambar paling viral dan popular di dunia iaitu pintu gerbang yang berlatar belakangkan keindahan Gunung Agung yang masih aktif.

Tempat ini dulu pernah kecoh di media antarabangsa kerana dikatakan pelancong berasa 'tertipu' dengan trik yang dilakukan jurugambar di Bali kerana menyangka pintu gerbang itu benar-benar mempunyai ilusi air seperti yang dilihat di dalam gambar -- namun sebenarnya ia merupakan idea kreatif mereka yang menggunakan cermin di bawah kamera bagi mendapatkan gambar berkenaan.

Artikel Terdahulu: Kenapa Pelancong Kecewa Bila Tahu ‘Rahsia’ Gambar Cantik Di Pura Lempuyang, Bali Ni?

Jika inginkan gambar seperti min ini korang dinasihatkan untuk ke sini pada awal pagi supaya korang dapat nombor terawal dan shot paling menarik di pintu gerbang ini.

Min dan kawan-kawan terpaksa beratur menunggu selama sejam tau untuk mendapatkan giliran bergambar di sini bersama ratusan pelancong antarabangsa lain seperti dari Eropah dan India.

Ini kami dikira bernasib baik juga kerana Bali masih belum diserbu seperti zaman sebelum Covid-19. Ini kerana ada yang mengatakan jika Bali dah kembali meriah dengan pelancong dijangka hujung tahun ini giliran menunggu untuk mendapat shot di sini juga tidak kurang dari 2 jam tau! Perghhhh...the struggle is real kan! Hahahaha...

3) TIRTA GANGGA, KARANGASEM

Jika korang ingin melihat sebuah taman yang dijaga rapi sejak berdekad yang lalu, Taman Air Tirta Gangga adalah lokasi yang wajib untuk anda kunjungi.

Juga terletak di wilayah Karangasem (sama wilayah dengan Pura Lempuyang) -- Tirta Gangga dahulunya adalah tempat istirehat dan andi keluarga Kerajaan Karangasem yang dibangunkan oleh Anak Agung Ngurah Anglurah Ketut Karangasem pada tahun 1948.

Walaupun duhulunya tempat ini dibangunkan khusus untuk keluarga diraja, kini siapa pun dapat menikmati keindahan Tirta Gangga. 

Sebaik sahaja menjejakkan kaki di sini, kami terus terpana dengan keindahan taman ini seakan-akan berada di sebuah zaman kesultanan diraja lama.

Boleh kata tempat ini memang cantik untuk korang bergambar Instagrammable. Siap boleh buat ilusi seakan berjalan di atas air sambil bermain ditemani ikan koi yang besar-besar berenang di bawah kaki. Syok betul!

4) BALI SWING DI ALAS HARUM BALI, TEGALLALANG

Salah satu aktiviti wajib yang korang kena buat kalau dah sampai ke Bali adalah 'Bali Swing' atau buaian Bali.

Dekat Bali sebenarnya ada beberapa lokasi untuk korang melakukan Bali Swing ikutlah korang nak pilih buaian dengan pemandangan laut atau pemandangan hutan atau pemdangan yang macam min idamkan adalah berlatar belakangkan Teres Padi Tegallalang yang begitu sinonim dengan Bali.

Nak dapatkan view hayunan tersebut min ke Alas Harum Bali di Tegallalang.

Kalau dah namanya nak bergambar dengan Bali Swing mestilah kita kena berpakaian ala-ala dress panjang bagi menampakkan efek yang menarik kan? Tapi kalau korang tak bawa dress pun tak mengapa, kerana di Alas Harum Bali itu turut menyediakan perkhidmatan menyewa dress atau extension dress yang boleh korang ikat di pinggang seperti yang min pakai di dalam gambar di bawah.

Selain aktiviti Bali Swing untuk single dan couple, di sini juga sebenarnya ada banyak lagi tarikan lain yang boleh korang cuba seperti melihat proses pembuatan Kopi Luwak yang terkenal di Bali, kafe, restoran, kolam renang, flying fox dan bermacam lagi.

5) TARIAN KECAK DI BARONG SERAYA BUDAYA, GIANYAR

Kalau di Malaysia kita mempunyai tarian Kuda Kepang tetapi di Bali mereka ada Tarian Kecak atau Kecak Dance yang begitu unik dan mengasyikkan.

Sebenarnya terdapat beberapa lokasi yang menawarkan persembahan Kecak Dance kepada pelancong dan antara yang paling popular adalah di Uluwatu.

Namun disebabkan ketika min pergi ke Bali pada bulan Mei lalu, cuaca sentiasa hujan dan persembahan Kecak Dance di Uluwatu berkonsepkan outdoor, maka kami menonton tarian tradisional masyarakat Bali tersebut di dalam ruangan berbumbung iaitu di Barong Seraya Budaya di Gianyar, Bali.

Meskipun berbeza suasana namun persembahan Kecak Dance yang dipersembahkan masyarakat tempatan sangat menghiburkan dan membuatkan min terpaku dengan aksi kehebatan tarian dan muzik mereka yang menggabungkan unsur api serta cerita dongeng yang cukup menghiburkan.

P/S: Inilah 5 destinasi yang menjadi bukti korang dah menjejakkan kaki ke Bali buat yang pertama kali ke sana. Bagi itinearari dan juga jumlah bajet yang kami belanjakan sepanjang percutian 4 hari 3 malam ini, akan min tulis di artikel yang berikutnya ya. So stay tuned!

Kredit Gambar: Instagram Shirley Tan, Faizal Fredley, Ida Busairi

Destination: