'Matahari Di Tengah Malam' - Rasai Pengalaman Menakjubkan Di Norway

TRAVEL
March 06, 2023 - 05:28 PM


Keindahan landskap negara di Scandinavia terutama Norway cukup mengagumkan sehingga membuatkan penulis beberapa kali berkunjung ke negara itu. Kali terakhir penulis ke negara itut pada Julai tahun lalu.

Di Norway, jumlah populasi penduduk adalah kira-kira 5.4 juta sahaja kerana kawasannya banyak diliputi hutan pokok pine, birch dan cemara. Di bahagian barat dan utara pula terdapat kawasan pergunungan.

Selain menjadi pengeksport terbesar ikan salmon di dunia, Norway juga terkenal dengan pembuatan 'brown cheese.'

Malah turut terkenal dengan industri minyak dan gas selain sektor pelancongan yang banyak membantu melonjakkan ekonomi Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) negara itu.

Antara tarikan yang terdapat di negara itu adalah 'fjord' iaitu teluk yang terhasil daripada pergerakan glasier dan gunung-ganang sehingga membentuk tasik yang berwarna kebiru-biruan (turquoise) disebabkan sejenis plankton yang wujud di teluk itu.

Berpeluang Merasai Pengalaman 'Midnight Sun' Di Pulau Lofoten

Penulis juga berpeluang merasai fenomena matahari tengah malam (midnight sun) juga yang menjadi antara tarikan utama untuk pelancong bertandang ke negara Scandinavia ini. Apatah lagi Norway yang terletak di selatan bumi Antartik dan kawasan utara bumi berdekatan Artik.

Fenomena ini menyebabkan matahari akan kelihatan selama 24 jam.

Sekiranya ingin 'merasai' matahari tengah malam di Norway, anda boleh ke beberapa lokasi termasuk di Bodo (biasanya antara 4 Jun hingga 8 Julai), Tromso (biasanya antara 20 Mei hingga 22 Julai), Pulau Lofoten (biasanya antara 28 Mei hingga 14 Julai) dan Svalbard (biasanya 20 April hingga 22 Ogos) yang berlaku pada setiap tahun.

Pelancong juga berpeluang menjejak Aurora Borealis atau Northern Light pada September, Oktober dan November setiap tahun.

Aurora Borealis Antara Tarikan Di Norway

Fenomena alam semula jadi ini umpama pertunjukan cahaya di langit, hasil pertembungan zarah bercas elektrik dari matahari yang memasuki atmosfera bumi yang hanya boleh disaksikan di atas kutub magnetik hemisfera utara dan selatan bumi.

Antara bandar kegemaran penulis di Norway adalah Bergen yang turut dikenali sebagai Gateway Of Fjords kerana dikelilingi Fjord Sognefjord.

Kebiasaannya penulis akan meluangkan masa selama beberapa hari di bandar ini untuk menikmati keunikannya termasuk bangunan warisan Bryggen yang berwarna-warni, kedai kopi, kedai cenderahati dan ke puncak Mount Floyen untuk melihat pemandangan seluruh bandar Bergen.

Keindahan Bangunan Berwarna-Warni Di Bryggen, Bergen

Bagi penulis, perkampungan tercantik di Norway adalah Flam kerana berada di kawasan Fjord Naeroyfjord dan Aurlandsfjord antara yang tercantik di dunia.

Terletak kira-kira 313 kilometer (km) dari Oslo, lokasi kampung ini terkenal dengan laluan kereta api Flamsbana iaitu salah satu laluan kereta api paling cantik di dunia.

Di Flam, pelbagai aktiviti boleh dilakukan termasuk melawat Stegastein Viewpoint, berbasikal di laluan Rallarvegen yang menghubungkan antara Haugastol-Finse-Myrdal-Flam, menaiki bot Fjord Safari, melawat muzium kereta api Flam dan ke Viking Valley, Gudvangen.

Sementara itu, Perkampungan Undredal yang terletak kira-kira 14 km dari Flam turut dikategorikan sebagai lokasi percutian menarik kerana dikelilingi dengan tasik hijau kebiruan (turquoise) yang cukup menggamit mata bagi yang memandang.

Pemandangan Indah Perkampungan Falm

Dengan memiliki populasi 100 penduduk, kualiti udara perkampungan ini yang sangat bersih dengan angin-angin sepoi bahasa menambahkan lagi rencah kecantikan yang begitu mendamaikan.

Selain itu, perkampungan ini terkenal dengan pembuatan 'brown cheese' dan pembuatan keju kambing.

Biarpun tiada banyak aktiviti dapat dibuat, namun bagi yang mencari ketenangan dan untuk menyegarkan mata, perkampungan Undredal antara lokasi yang wajib dikunjungi apabila melancong ke Norway.

Makan Tengah Hari Di Perkampungan Undredal

Semestinya apabila melancong di Norway, penulis lebih selesa menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk ke setiap ceruk kawasan dan pedalaman yang jarang diterokai kebanyakan pelancong.

Pada masa sama, dengan menggunakan MPV, penulis lebih mudah untuk berhenti di mana-mana sahaja bagi merakam gambar kenangan sepanjang berada di lokasi menarik.

Kekerapan ke negara Scandinavia membantu penulis mendalami kehidupan sosial masyarakat terutama Norway dengan lebih dekat dan banyak dicorakkan oleh bangsa Viking yang datang ke negara ini pada suatu ketika dahulu.

Pribumi yang dikenali sebagai Norsemen itu agak terkenal dengan kemahiran meneroka lautan dan aspek navigasi lautan yang sehingga kini masih wujud dalam kalangan orang tempatan di Scandinavia khususnya Norway ini.

Penulis tidak pernah jemu dengan keindahannya dan insya-Allah bercadang sekali lagi ke Norway pada Julai ini.

Nasihat penulis, pergilah mengembara ke seluruh pelosok dunia bukan sahaja untuk menikmati keindahan semula jadi malah dapat mengenali budaya, cara hidup dan kerenah masyarakat asing.

Air Terjun Tvindefossen, Tarikan Pelancong Di Norway

Kredit Sumber: Harian Metro

Destination: