"Wow, Melaka Dah Boleh Buat Selam Skuba!" - 3 Pulau Di Taman Laut Negara Bakal Dibuka Kepada Pelancong

TRAVEL
June 28, 2023 - 04:35 PM


Selain pulau-pulau di Sabah, Johor, Terengganu dan Pahang yang popular sebagai lokasi selam skuba di kalangan pelancong tempatan serta antarabangsa -- kini bakal menyusul adalah Melaka!

Ini kerana tidak lama lagi 3 pulau di Melaka iaitu Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol bakal dibuka secara rasmi kepada pelancong untuk aktiviti riadah dan marin termasuk menyelam skuba -- terutama bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Ketiga-tiga pulau berkenaan telahpun diwartakan sebagai Taman Laut Negara pada 4 April lepas.

Ketika ini pihak kerajaan negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) sedang mengkaji pelbagai aspek sebelum taman laut itu dibuka kepada orang awam -- antaranya melibatkan penentuan harga tiket, jeti bersesuaian untuk penumpang naik serta masa operasi dan had pengunjung ke taman laut berkenaan.

Pertimbangan segala aspek itu penting supaya kemasukan pengunjung ke Taman Laut Negara dapat dikawal bagi mengelak pelbagai kemungkinan yang tidak diingini seperti kerosakan terumbu karang yang terdapat di perairan taman laut tersebut yang dikatakan antara tercantik di dunia!

Sebagai cadangan permulaan -- kedatangan pelancong atau penyelam akan dilakukan secara berkala mungkin dalam satu trip dihadkan hanya kepada 100 pengunjung.

Pelancaran taman laut itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat dan lokasi berkenaan akan disenaraikan sebagai destinasi wajib dikunjungi pada TMM 2024 dengan pelbagai aktiviti dan program dirangka bagi menarik pelancong.

Jadi lepas ini pengunjung yang datang ke Melaka bukan sahaja boleh jalan-jalan cari makanan sedap-sedap, tetapi juga berpeluang melakukan aktiviti selam skuba yang popular di pulau pelancongan lain.

Sumber: BERNAMA

Destination: