MTC Gold Awards 2022 Iktiraf Lebih 100 'Hero' Industri Pelancongan Berjaya Harungi Pandemik

TRAVEL
October 13, 2022 - 02:26 PM


Bagi menghargai jasa dan sumbangan 'adiwira' Malaysia yang berjaya mengharungi fasa sukar pandemik dalam industri pelancongan, mereka akan diraikan dalam sebuah acara anugerah MTC Gold Awards!

Acara tahunan kali keenam yang akan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada Sabtu, 22 Oktober 2022 ini -- bakal menyaksikan lebih 100 anugerah diberikan kepada pemain industri oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC).

Majlis anugerah yang julung kali diadakan di Bumi Kenyalang itu juga mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).

MTC Gold Awards memberikan penghormatan serta pengiktirafan tertinggi kepada para individu dan organisasi yang telah menyumbang besar dengan memainkan peranan penting mereka dalam menjayakan industri pelancongan Malaysia.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia Tuan Uzaidi Udanis berkata MTC Gold Awards itu juga diadakan bagi memberikan galakan serta membangkitan semangat para pemain industri pelancongan yang bukan sahaja telah bertarung dengan pandemik yang kejam, bahkan terpaksa mengatasi pelbagai kesukaran agar kekal bertahan dalam kehidupan.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Tuan Uzaidi Udanis pada sidang media MTC Gold Awards 2022.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dijangka akan menyempurnakan majlis anugerah berkenaan.

Beliau akan turut disertai Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Selain pemberian anugerah, para tetamu akan turut dihiburkan dengan tarian kebudayaan oleh Kampung Budaya Sarawak, persembahan unik dipanggil ‘Musik Tenunan’ oleh bengkel butik Tanoti menggunakan peralatan tenunan etnik tradisional dan muzik sedunia eksperimental yang mengujakan oleh salah sebuah kumpulan muzik Sarawak yang semakin bersinar bernama At Adau.

 

 

Destination: