Nak Bergambar Dengan Mat Kilau? Jom Datang Kuantan Art Street!

TRAVEL
September 01, 2022 - 01:04 PM


Jika anda bercuti ke Kuantan, Pahang dan teringin untuk merakamkan kenangan bersama pahlawan Melayu, Mat Kilau yang sebelum ini trending dan fenomena dek kerana filem pecah panggung lakonan Adi Putra -- anda boleh singgah ke Kuantan Art Street!

Ini kerana di bangunan rumah kedai Jalan Lebai Ali dihiasi dengan tarikan terbaharu iaitu mural Mat Kilau dan Tok Bahaman yang dihasilkan oleh 5 pelukis tempatan.

Selain paparan wajah tokoh pahlawan Pahang itu, mural tersebut turut menggambarkan suasana pertempuran antara pejuang tempatan menentang askar British serta lukisan abstrak semangat patriotisme negara menggunakan warna Jalur Gemilang.

Mural tersebut mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan dan menggunakan 16 tong cat dengan tujuh warna asas.

Pemilihan Mat Kilau sebagai tema lukisan mural itu bagi menarik golongan muda untuk menghayati sejarah negeri Pahang dan menghargai perjuangan pahlawan tanah air menentang penjajah.

Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif meremajakan 'Kuantan Old Town' seterusnya menggalakkan interaksi sosial, merancakkan pelancongan bandar dan meningkatkan perniagaan serta ekonomi di bandar ini.

Ia juga bagi memelihara dan memulihara bangunan rumah kedai sepanjang Jalan Mahkota dan Jalan Besar yang menjadi warisan bandar Kuantan.

Mural terbaharu itu sebahagian daripada Projek Kuantan Art Street di bawah MBK dengan kerjasama pelukis dan pelbagai pihak.

Projek berkenaan melibatkan tiga fasa dengan 74 lukisan sepanjang 1.3 kilometer telah disiapkan untuk fasa pertama dan kedua.

Fasa ketiga dijangka bermula hujung tahun ini dengan tambahan elemen baharu sepanjang kira-kira 900 meter lagi di Jalan Mahkota dan Jalan Besar.

Apabila semua fasa siap kelak, dijangkakan projek tersebut akan muncul sebagai 'Art Street' terpanjang di negara ini!

Sumber: Sinar Harian

Destination: