Rusia Bakal Beri Pengecualian Visa Kepada Rakyat Malaysia

TRAVEL
December 01, 2023 - 10:40 AM


Jika sebelum ini rakyat Malaysia diberi pengecualian visa untuk melawat negara China, hal yang sama juga bakal berlaku untuk pelancong Malaysia mahu melawat negara yang berada di kedudukan timur Eropah, Rusia.

Terbaru, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Rusia ke Malaysia, Alexander Zimin mengatakan bahawa negara berkenaan bersedia untuk memberi pengecualian visa kepada pelawat Malaysia.

Menurut laporan dari Sinar, perjanjian antara kerajaan yang berkaitan sedang diusahakan oleh kedua-dua negara.

Menurut Zimin lagi, persetujuan perjanjian tersebut bakal menjadi langkah penting bagi memudahkan akses pelancong Malaysia untuk ke Rusia berikutan peningkatan minat rakyat Malaysia untuk melancong ke negara tersebut.

"Kementerian luar kedua-dua negara sedang membincangkan draf perjanjian antara kerajaan mengenai rejim pengecualian visa dan kami percaya mungkin tahun depan, kami dapat menandatanganinya di peringkat kerajaan," katanya semasa berucap pada majlis Jerayawara Jawatankuasa Pelancongan Bandar Moscow 2023.

Zimin juga menegaskan kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan Kumpulan Kerja Khusus mengenai pelancongan semasa sesi mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan di Kuala Lumpur.

"Kami berharap mereka boleh menjadi tuan rumah mesyuarat pertama kumpulan kerja mengenai pelancongan pada tahun 2024. Ini adalah tanda kepentingan bersama untuk kerjasama dalam sektor pelancongan, selain bukti potensi sektor pelancongan sebagai penggerak bagi hubungan ekonomi dua hala dan untuk pertumbuhan dalam interaksi antara rakyat,” katanya.

Tambahnya lagi, sektor pelancongan ditonjolkan sebagai salah satu daripada 11 sektor utama untuk kerjasama dua hala tersebut.

 

Sumber: Sinar Harian

Destination: