Selepas Setahun Ditutup, Air Terjun Gunung Ledang Dibuka Semula 8 Julai Ini

TRAVEL
July 03, 2023 - 03:10 PM


Selepas setahun ditutup kepada kunjungan orang ramai akhirnya mulai 8 Julai ini -- Air Terjun Gunung Ledang di Tangkak akan dibuka semula!

Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) memaklumkan penutupan Air Terjun Gunung Ledang disebabkan pengambilalihan pengurusan operator sebelum ini, selain bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kemudahan awam di kawasan itu.

Menurut PTNJ pembukaan semula kepada orang ramai merupakan usaha kerajaan negeri untuk membawa limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan dan masyarakat sekitar.

"Bagi memastikan keselamatan terkawal dan tahap kebersihan terjaga, jumlah kemasukan ke kawasan air terjun dihadkan kepada 2,000 pengunjung pada satu-satu masa," menurut PTNJ dalam kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun, menurut PTNJ resort bagi penginapan di Air Terjun Gunung Ledang masih belum beroperasi dan kehadiran pelawat hanya melibatkan kemasukan harian.

Menurut kenyataan itu pelawat disaran membawa plastik sampah sendiri atau membelinya daripada pihak PTNJ bagi tujuan membawa keluar sampah masing-masing dari kawasan rekreasi berkenaan dengan tong sampah turut disediakan di luar kaunter pembelian tiket.

Kenyataan itu turut memaklumkan bagi menghargai kesabaran dan penantian orang ramai susulan penutupan air terjun berkenaan, PTNJ akan menganjurkan Karnival Gunung Ledang selama 3 hari bermula Sabtu ini (8 Julai 2023).

Menurut PTNJ pelbagai aktiviti dan pengisian menarik akan diadakan seperti Karnival Tanah Daerah Tangkak, pameran oleh agensi kerajaan dan swasta, Fun Run, Fun Ride, gerai jualan, pemeriksaan kesihatan, pertandingan karaoke, pertunjukan motorsikal, pertandingan mewarna serta apresiasi bahasa dan sastera.

Perbadanan itu turut bersetuju membenarkan orang awam masuk secara percuma sepanjang tempoh tiga hari karnival itu berlangsung.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi PTNJ menerusi talian 069772254 (pejabat), 0137440953 atau 0137440961.

INFO AIR TERJUN GUNUNG LEDANG

- Air Terjun Gunung Ledang di Johor merupakan lokasi mandi manda yang menenangkan untuk para pelawat.

- Untuk sampai ke air terjun ini, anda kena mendaki sendikit dalam 300m sahaja.

- Menurut lagenda, Kolam Puteri (Puteri Waterfall) ini dikatakan tempat di mana Puteri Gunung Ledang turun mandi manda sewaktu bulan mengambang muncul. Menurut seorang tua, dia menceritakan kebiasaannya puteri turun semasa musim bunga. Di mana ketika itu, dapat lihat kawasan itu kelihatan pohon-pohon berbunga dan jika pada masa itu adalah bulan mengambang, maka bagi yang bertuah berpeluang untuk melihat Puteri Gunung Ledang beserta dayang-dayangnya mandi di sini.

Sumber: BERNAMA & Tourism Johor

Destination: