Trend Ramai Rakyat Malaysia Bercuti Ke Thailand Rugikan Negara, Netizen 'Bash' Kenyataan Pakar!

TRAVEL
September 20, 2022 - 06:27 PM


Trend bercuti ke luar negara menyaksikan lebih banyak aliran keluar mata wang ringgit Malaysia (RM) dibimbangi memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang.

Hal itu didorong apabila ramai rakyat Malaysia kini mengambil kesempatan bercuti ke Thailand berbanding memanfaatkan masa yang ada untuk sektor pelancongan domestik di negara ini.

Dalam keadaan nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$), ini bukanlah satu petanda baik selain 100 baht kini hanya bernilai RM12.32, semakin rendah.

TREND BERCUTI KE THAILAND JEJASKAN EKONOMI NEGARA

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, keadaan itu tidak baik untuk ekonomi negara jika proses pengaliran mata wang ke luar negara terus berlaku tanpa ada usaha menyeimbangkan antara kedua-dua aliran tunai berkenaan.

Meskipun tidak menyatakan nilai kerugian atau peratusan tertentu, beliau bagaimanapun berpendapat ia tetap ‘tidak sihat’ dan perlu langkah-langkah awal bagi mengatasinya.

“Pilihan ada di tangan masing-masing, tetapi, dari sudut ekonomi kita yang akan rugi kerana duit banyak mengalir keluar. Wang tunai sepatutnya ‘berkitar’ dalam negara dengan menggalakkan lebih banyak kegiatan pelancongan sekali gus meningkatkan ekonomi domestik.

“Aliran keluar masuk wang tunai mesti seimbang. Jadi, kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen bagi menggalakkan lebih ramai warga Thailand atau negara yang bersempadan melancong ke Malaysia seperti mana rakyat kita sendiri melancong ke luar negara,” katanya.

THAILAND DESTINASI PELANCONGAN 'MAMPU' BAGI RAKYAT MALAYSIA

Meskipun berlaku aliran keluar ringgit, Thailand disifatkan sebagai destinasi pelancongan yang ‘mampu’ bagi rakyat Malaysia berbanding negara-negara yang menggunakan mata wang AS$.

Mengikut laporan media -- Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) dan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad Padang Besar sesak teruk berikutan orang ramai mengambil kesempatan sempena cuti Hari Malaysia kelmarin dan hujung minggu untuk ke Thailand.

Thailand dijangka menerima tujuh hingga 10 juta pelancong asing tahun ini selepas melonggarkan sekatan akibat pandemik Covid-19, manakala seramai 647,648 rakyat Malaysia direkodkan datang ke Thailand untuk lapan bulan pertama tahun ini.

KOMEN PERTIKAIAN NETIZEN 

Bagaimanapun, ramai netizen meluahkan ketidakpuasan hati apabila terdapat beberapa pakar menyalahkan mereka bercuti ke negara Thailand sehingga menjejaskan ekonomi tempatan.

Malah, ada yang mempertikaikan golongan T20 dan keluarga ahli-ahli politik lain pergi bercuti di luar negara seperti Eropah tidak pernah pun dibangkitkan isu seperti orang kebiasaan pergi ke Thailand.

Majoriti wargaet mendakwa kos percutian dalam negara memerlukan perbelanjaan besar kerana ramai peniaga tempatan mengambil kesempatan dengan menaikan harga barangan dan perkhidmatan terutama di pusat peranginan seperti Langkawi.

Itu belum termasuk dengan tambang dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak yang hanya mampu ‘menelan’ air liur sahaja jika melihat kepada harga ditetapkan oleh syarikat penerbangan.

Destination: