Wanita Ini Kongsi Trik Ke KLIA Terminal 2 Dengan Kos Bawah RM10 Je!

TRAVEL
July 06, 2023 - 01:20 PM


Apabila bercuti yang melibatkan mod pengangkutan kapal terbang, pastinya memerlukan kita untuk tiba di lapangan terbang tepat pada masanya.

Untuk tujuan itu, ada kos pengangkutan ekstra yang perlu diambil kira seperti minyak, tol, parking dan jumlah kesemuanya tidak murah ya!

Jika tidak mahu berkereta sendiri ada caj parking selama berhari-hari yang perlu dibayar nanti dan disebabkan itu ramai yang memilih mod pengangkutan awam jika memerlukan mereka untuk tiba di lapangan terbang sama ada di KLIA Terminal 1 ataupun Terminal 2.

Paling mudah kini adalah menggunakan perkhidmatan Grab Car, di mana secara purata akan memakan kos antara RM75 hingga RM100 mengikut jarak perjalanan.

Tetapi jika anda seorang yang ingin berjimat untuk memastikan bajet percutian anda tidak terkesan dengan kos tambahan pengangkutan ke lapangan terbang -- anda mungkin boleh mencuba tips atau trik ke KLIA Terminal 2 hanya menggunakan kos di bawah RM10 sahaja seperti mana dikongsikan oleh wanita ini @elybaeraq di Twitter.

Dalam satu hantaran yang dibuat, wanita ini menggunakan MRT Laluan Putrajaya dan berhenti di stesen terakhir iaitu stesen Putrajaya Sentral.

"Saya jumpa cara baharu lagi murah nak pergi ke KLIA2.

"Saya hanya belanjakan RM9.40 pergi ke sini menggunakan MRT ke Putrajaya Sentral dan tukar ke Transit KLIA.

"Saya sangat kedekut dengan diri sendiri sebab itulah saya tak nak gunakan pengangkutan e-hailing yang menelan kos RM75. Lagi murah daripada gunakan kereta api ekspres," katanya.

Selain itu, pelayar tersebut menjelaskan bahawa perjalanan menggunakan MRT tersebut adalah percuma memandangkan dia menggunakan My50 Unlimited Travel Pass (My50).

Bagi mereka yang tidak melanggan My50, anda boleh menggunakan MyCity Pass dengan harga RM5 yang boleh digunakan ke mana sahaja menggunakan MRT dalam masa satu hari tanpa had atau caj tambahan dikenakan.

Dalam ciapan tersebut, wanita ini turut berkongsi foto menunjukkan dia berjaya tiba di KLIA2 menggunakan laluan dikongsikan.

Destination: