"10 Kali Ganda Panas Dalam Kereta Tanpa ‘Aircond’" - Alif Satar Kongsi Suasana Wukuf Di Arafah
TERKINIPelakon dan penyanyi, Alif Satar meluahkan kesyukuran kerana dapat menjalani ibadah haji namun tidak menyangka berwukuf bersama dengan rakan selebriti, Faizal Tahir.
Pemilik nama sebenar, Muhammad Alif Mohd Satar memberitahu, momen itu adalah terindah di sebalik banyak perancangan yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Alif, 32, berkata, dia dan pelantun lagu Sampai Syurga pernah sekadar merancang untuk mengerjakan ibadah umrah bersama-sama suatu ketika dahulu dan bukannya mengerjakan haji sama.
“Momen bersama abang saya, Haji Faizal Tahir. Dari dulu bersembang pasal nak buat umrah sama-sama tapi pernah menjadi.
“Rupanya kita cuma merancang tapi Dialah sebaik-baik perancang. Yang kelakarnya ibadah haji ini tak pernah berbincang sama-sama pun dan di sini kami hari ini pada hari Arafah.
“Secara fitrahnya, kami dikurniakan rezeki diberikan oleh Allah SWT dan digunakan di jalan-Nya, berdoa, berdoa dan menyahut seruan haji,” tulis di Instagram miliknya.
Sementara itu, Alif turut menyatakan dia bersyukur dan akan mengingati pengalaman di Tanah Suci kerana dapat mengerjakan ibadah haji bersama sahabat baik.
“Dari tahun 2006 sehingga sekarang mengerjakan haji 2023. Allahuakbar, akan menghargai selama-lamanya,” tulisnya lagi.
Alif yang mengerjakan rukun Islam kelima bersama isterinya, Shadila Halid juga berkongsi keadaan cuaca sewaktu mengerjakan wukuf di padang Arafah di mana ia diibaratkan seperti sepuluh kali ganda panas berada di dalam kereta tanpa memasang pendingin hawa.
“Kalau nak tahu macam mana rasa dia, masuk kereta waktu tengahari tapi jangan pasang aircond, darah 10 kali.
“Alhamdulillah, Allah mudahkan,” kongsinya.
Sumber: MalaysiaGazette