5 Artis Ini Bakal Jadi 'Yang Berhormat' Jika Menang Bertanding!
TERKINISelain ahli politik, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung pada 19 November depan --mencipta sejarah tersendiri apabila ramai selebriti dan penggiat seni turut dinamakan sebagai calon untuk bertanding.
Berikut adalah senarai artis yang bakal bergelar 'YB- Yang Berhormat' sekiranya mereka berjaya memenangi kerusi yang ditandingi atas tiket parti masing-masing :
1) EIZLAN YUSOF
Pelakon dan Pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof diumumkan sebagai calon mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) di bawah Parti Pejuang menerusi Majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA-Pejuang yang diadakan di Pusat Konvensyen Bangi.
Eizlan atau Idris Md Yusof, 51 tahun dicalonkan di Parlimen Sabak Bernam, Selangor.
Eizlan pada awalnya tidak meletakkan sebarang harapan untuk dicalonkan walaupun dilantik sebagai Ketua Penerangan Pejuang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum ini.
Pelakon itu menyifatkan pencalonan berkenaan sebagai tanggungjawab besar yang harus dipikul demi bangsa dan negara.
Untuk rekod, Eizlan pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk Ahli Perbadanan, Perbadanan Kemajuan File Nasional Malaysia (Finas), Pengerusi, Hal Ehwal Industri, Kebajikan & Data Industri Finas, Pengerusi, Skim Wajib Tayang Finas dan Perunding Kreatif kepada Menteri Luar Negeri Malaysia, Kementerian Luar Negeri (MOFA).
2) AHMAD IDHAM
Pelakon dan Pengarah, Dr Ahmad Idham turut diumumkan sebagai calon mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) sama seperti Eizlan Yusof.
Ahmad Idham, 48 tahun bakal bertanding merebut kerusi Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ahmad Idham mempunyai taraf pendidikan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan dari Universiti Utara Malaysia dan pelakon itu juga pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
3) LANDO ZAWAWI
Pelakon dan aktivitis, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando turut dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Tanjung Karang juga atas tiket Pejuang-GTA.
Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood itu mendedahkan hanya Parti Pejuang yang menerima tiga syaratnya untuk menjadi calon bertanding pada PRU15.
Satu daripada syarat ditetapkan adalah dia tidak akan mendaftar sebagai ahli parti politik.
Kedua, beliau juga memaklumkan sekiranya parti tersebut membentuk kerajaan -- sebarang kesalahan rasuah melibatkan jumlah melebihi RM100,000 perlu dijatuhi hukuman mati.
Jadi parti-parti lain tidak sanggup, hanya Pejuang sahaja yang boleh menerima dirinya.
4) JUREY LATIFF
Penerbit dan Pengarah, Datuk Jurey Latiff Rosli turut bertanding di Parlimen Lenggong mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kali ini.
Beliau menyangkal bahawa dirinya 'katak politik' kerana keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila berlakunya krisis kepimpinan di antara Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jurey Latiff merupakan anak jati Lenggong bertekad untuk masuk politik supaya rakyat di Lenggong yang kebanyakan bekerja sebagai penoreh getah dan kerja kampung mendapat pembelaan.
5) KHIR MOHD NOOR
Turut bertanding adalah bekas Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Mohamad Khir Mohd Noor di DUN Bintong, Perlis mewakili Parti Warisan.
Untuk rekod, beberapa artis sebelum in pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum termasuklah penyanyi Aishah, Herman Tino dan Dayangku Intan.