7 'Misteri' Dunia Mula Timbul & Terdedah Akibat Kemarau Teruk!
TERKINISemua sedia maklum bahawa Bumi kini sedang mengalami masalah pemanasan global yang semakin kritikal.
Penjelajah Kutub Utara dan Selatan turut mengakui perkara ini apabila ais di sana juga dikatakan semakin mencair, air sungai menjadi semakin suam dan cuaca pula bertambah panas.
Kemarau yang teruk kesan daripada gelombang haba di seluruh dunia juga semakin hari semakin mendedahkan pelbagai rahsia misteri bawah laut yang mengejutkan penduduk dunia.
Berikut adalah antara misteri peninggalan yang ditemui sejak beberapa bulan lalu :-
1) TASIK MEAD, AMERIKA SYARIKAT
Paras air di Tasik Mead di Nevada mencecah paras terendah, mendedahkan jasad manusia yang pernah 'tertanam' di dasarnya.
Mei lalu, 2 set rangka manusia ditemui dalam tempoh seminggu. Pada Julai dan Ogos, dua lagi rangka ditemui.
Pada bulan Jun dan Julai, beberapa rangka bot dan kapal yang tenggelam pula mulai timbul.
2) SUNGAI TIGRIS, IRAQ
Pada Disember 2021, air surut mendedahkan sebuah bandar berusia 3,400 tahun di sepanjang Sungai Tigris di Iraq -- mendorong ahli arkeologi bergegas ke tapak untuk menggali dan memetakan sebahagian besar bandar sebelum ia musnah akibat terdedah kepada perubahan cuaca.
Tapak arkeologi yang dipanggil Kemune itu termasuk sebuah istana dengan dinding setinggi 20 kaki, beberapa menara dan bangunan bertingkat.
3) ACEREDO, SEPANYOL
Pada bulan Februari, sebuah perkampungan yang pernah ditenggelami air muncul semula di Sepanyol selepas kemarau mengeringkan empangan di sempadan Sepanyol-Portugis.
Perkampungan Aceredo di wilayah Galicia, barat laut Sepanyol -- sebelum ini dinaiki air pada tahun 1992 untuk mencipta takungan Alto Lindoso.
Akibat kemarau serta perubahan iklim, perkampungan ‘hantu’ itu kembali muncul dan menarik perhatian pelancong untuk melihat sendiri keadaan kampung yang pernah didiami manusia itu.
Penduduk yang pernah melihat sendiri kampung tersebut sebelum tahun 1992 berasa seperti melihat filem dan sebak dengan keadaan Aceredo.
4) SUNGAI YANGTZE, CHINA
Sungai terpanjang di Asia iaitu Sungai Yangtze juga turut diancam kemarau sehingga menyebabkan airnya surut 45% lebih rendah daripada paras biasanya sejak bulan Julai 2022.
Pada 20 Ogos 2022, akibat paras sungai yang kian rendah ini, 3 patung Buddha misteri mulai timbul di sungai terbabit.
Ketiga-tiga patung itu dipercayai merupakan patung dari zaman Dinasti Ming dan Qing yang berusia 600 tahun dan terletak di atas bahagian paling tinggi beting pulau yang dipanggil Foyeliang.
Salah satu daripada patung tersebut adalah berbentuk Buddha yang sedang duduk.
Selain Sungai Yangtze yang juga merupakan sungai ketiga paling panjang di dunia selepas Sungai Amazon dan Sungai Nil, sebanyak 66 batang sungai yang lain di 34 wilayah di Chongqing turut mengering akibat cuaca panas yang ekstrem.
5) TEXAS, AMERIKA SYARIKAT
Sungai Paluxy di Dinasaur Valley State Park, Texas yang hampir kering sepenuhnya akibat gelombang haba mendedahkan jejak dinasour termasuk tapak kaki dan fosilnya di sana.
Kesan tapak kaki tersebut dipercayai dimiliki oleh dinasour Acrocanthosaurus, dinasour berketinggian 15 kaki dan memiliki berat 7 tan.
Sebanyak 60 kesan tapak kaki dikesan hasil daripada pengeringan sungai berkenaan.
Turut ditemui adalah kesan tapak kaki satu lagi dinasour iaitu dinasour Sauroposeidon, haiwan pra-sejarah yang berketinggian 66 kaki dan memiliki berat 48 tan apabila dewasa.
Pakar percaya bahawa dinasour Acrocanthosaurus ini diburu oleh Sauroposeidon, menyebabkan tinggalan tapak kaki mereka dijumpai bersama.
6) SUNGAI RHINE, JERMAN
Menurut laporan BBC, Sungai Rhine di Jerman kini hanya memiliki takungan air setinggi 1.5 meter sahaja lagi. Situasi ini telah mendedahkan ‘batu lapar’, iaitu timbunan batu yang kebiasaannya dijumpai di Eropah Tengah.
Batu-batu ini diukir sempena mengingati musim kebuluran suatu ketika dahulu serta kesusahan lain yang pernah dihadapi oleh manusia.
Pada batu-batu yang timbul baru-baru ini, tarikh batu ini diukir adalah pada tahun 1947, 1959, 2003 dan 2018.
Batu-batu ini juga dikatakan sebagai tanda amaran pasar air rendah kepada generasi akan datang.
Meskipun belum mencatatkan rekod paras air terendah iaitu setinggi 1.2 meter seperti pada tahun 2018, namun keadaan ini dijangka akan memburuk menjelang beberapa hari di bulan Ogos 2022.
7) SUNGAI DANUBE, SERBIA
Sungai Danube, sungai kedua terbesar di Eropah juga tidak ketinggalan mengalami pengeringan. Kesan daripada paras air yang semakin susut, Sungai Danube di Prahovo, timur Serbia ini telah mendedahkan lebih 20 kapal perang gergasi milik rejim Nazi yang karam di dasar laut.
Lebih merisaukan, tinggalan kapal perang ini masih mengandungi sejumlah tan metrik senjata dan bahan letupan yang berisiko membahayakan kapal dagang, serta kapal nelayan yang melalui Sungai Danube di Prahovo.
Terdapat sesetengah daripada kapal ini yang telah menyempitkan laluan pelayaran kapal di selat Danube kepada 180 hingga 100 meter sahaja.
Sumber: Astro Awani & iloveborneo.my