[VIDEO] Misteri Motosikal Tanpa Penunggang Tepi Rawang Bypass Akhirnya Terbongkar!
TERKINIMisteri sebuah motosikal yang ditinggalkan di tepi jalan lebuh raya Rawang Bypass dan masih dalam keadaannya enjinnya dihidupkan akhirnya terjawab dengan penemuan mayat seorang lelaki pada Sabtu lalu.
Mayat penunggang motosikal berkenaan ditemui oleh 2 orang 'rider' penghantar makanan di bawah Rawang Bypass dekat Rawang, Selangor.
Menerusi satu video tular yang dimuat naik di halaman Facebook info.semasa menunjukkan sebuah motosikal jenis SYM Sport Rider 125i bewarna hitam ditinggalkan di tepi jalan lebuh raya berkenaan dalam keadaan enjinnya masih hidup.
Hasil pemeriksaan kedua-dua lelaki tersebut menjumpai mayat di bawah Rawang Bypass yang tingginya hampir 60 meter.
Turut kedengaran suara salah seorang daripada mereka menerangkan situasi kejadian penemuan mayar tersebut.
"Astagfirullahaladzim, dekat Rawang Bypass. Menghala dari Bukit Beruntung ke Selayang. Ada orang terjun dari jambatan tapi tak tahu terjun atau jatuh.
"Itu orang eh. Datang tadi memang tinggal motosikal sahaja," katanya sambil menunjukkan ke arah mayat tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat tersebut.
"Balai Polis Gombak menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 12 tengahari 10 Disember lalu yang memaklumkan satu lelaki telah terjatuh ke dalam hutan di Jalan Rawang Bypass dari arah Serendah ke Kuala Lumpur.
"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati sebuah motosikal dalam keadaan enjin masih hidup berada ditempat kejadian. Di dalam hutan di bawah jalan Rawang Bypass telah dijumpai mayat satu lelaki Cina berumur 31 tahun," katanya.
Jelas Noor Ariffin lagi, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Selayang.
"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk bedah siasat. Punca kejadian masih dalam siasatan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan Polis.
Maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafifi Noni di talian 03-6192 7107/ 016-3335139.
Sumber: Majoriti