Berani Hina Islam, Standby Kena Cekup! Menteri Arah TH Cari Maklumat Kepulangan 'Wanita Berihram'

TERKINI
August 22, 2022 - 12:31 PM


Sebelum ini negara digemparkan dengan gambar dan video mengenai tindakan 'berani' seorang wanita berpakaian ihram lelaki ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah baru-baru ini.

Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad telah mengarahkan Tabung Haji untuk menghubungi Jabatan Imigresen bagi mendapatkan maklumat kepulangan individu berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga membuat siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat mengenai tempat asal wanita berkenaan dan akan memaklumkan kepada pihak berkuasa negeri terlibat bagi tindakan lanjut.

"Dia pergi (Makkah) secara sendiri menggunakan visa pelancong," katanya.

Pada 12 Ogos, Idris dilaporkan berkata tindakan tegas menanti kepulangan wanita terbabit kerana didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki.

Seorang pengguna media sosial berkongsi video berdurasi 17 saat memaparkan seorang 'lelaki' merakam dirinya tawaf di depan Kaabah dalam Masjidilharam di Makkah yang akhirnya tular selepas identiti individu itu didedahkan sebagai wanita.

Terdahulu tular di Twitter beberapa hantaran mengenai wanita berkenaan susulan videonya berada di Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.

Wanita terbabit dipercayai berasal dari Perak.

Difahamkan wanita berperwatakan lelaki itu ke Tanah Suci dengan menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi umrah.

Sumber: BERNAMA

Destination: