"Berdebar Jadi Suami" - Shuib & Watie Naik Pelamin Jun Nanti
TERKINIPelawak dan penyampai radio terkenal Shuib baru sahaja memaklumkan bakal mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihan, Watie Hanifiah pada bulan Jun ini.
Kata Shuib, 38, dia dan pasangan kini dalam proses membuat persiapan menjelang hari bahagia mereka tidak lama lagi.
"Kini sudah 30 peratus. Insya-Allah, bulan Jun. Nanti saya akan umumkan tarikh. Persiapan dari segi dewan sudah dilakukan. Saya akan jalankan majlis pernikahan dan persandingan. Persiapan busana belum lagi.
"Saya tak mahu bernikah dengan terlalu ‘grand’, tak mahu juga terlalu kecil-kecilan kerana memikirkan ahli keluarga. Ini adalah perkahwinan pertama dia, jadi sudah tentu keluarga belah sana mahu meraikan kami.
"Saya harap dapat buat majlis sederhana dan bermakna, jadi semua akan gembira," katanya kepada Gempak.
Shuib ditemui di majlis berbuka puasa Melakar Pahala Warnai Raya Suria FM di Eastin Hotel, Petaling Jaya, pada Rabu.
Di majlis sama, mereka turut melancarkan video muzik Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu dan drama sempena Syawal berjudul Raya Akhir.
Akui berdebar untuk memasuki semula fasa bergelar suami selepas kehilangan cinta hatinya, Allahyarham Siti Sarah dua tahun lalu, Shuib menyifatkan dirinya perlu punyai sistem sokongan yang kuat.
"Sudah tentu berdebar, bila saya tengok anak-anak memang saya perlu seseorang untuk berada di samping saya. Kita tahu kebolehan kita, kemampuan kita, bilamana ada orang sudi untuk sama-sama, itu satu pemberian oleh Allah.
"Kita nak yang baik-baik ke depan, harapnya dipermudahkan. Saya tak reti sebenarnya sendiri.
"Sejak dulu saya suka meriah, gembira, ramai-ramai, saya suka jemput orang datang rumah, jadi apabila saya sendiri, saya rasa itu bukan saya.
"Saya seorang yang bekeluarga, saya suka keluarga, lagi besar keluarga itu, lagi saya gembira. Bila ada peluang macam ini, bila Allah sudah hadirkan orang yang sudi duduk dengan saya, jaga anak-anak saya, jaga saya juga, saya kena hargai, Insya-Allah," katanya.
Sumber dan Kredit: Gempak